Pengambilan 116 erat silaturahim, imbau kenangan 25 tahun

16 Og 2026 - 5:48am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Pengambilan 116

BERAKAS, Sabtu, 15 Ogos. - Seramai 33 anggota dan bekas anggota Pengambilan 116 telah mengadakan Majlis Reunion dalam suasana penuh kemeriahan dan nostalgia sempena Sambutan Ulang Tahun Pengambilan 116 Ke-25 yang berlangsung di Restoran Tee Box, RBC.

Majlis perjumpaan semula berkenaan diadakan sebagai wadah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta mengimbau kembali kenangan sepanjang perjalanan bersama sejak Pengambilan 116 memulakan langkah pada 30 Julai 2001.

Majlis tersebut juga mencerminkan semangat setiakawan dan kekeluargaan yang masih utuh meskipun masing-masing kini meniti laluan kehidupan dan kerjaya yang berbeza.

Pelbagai acara turut diadakan sepanjang majlis, antaranya ucapan alu-aluan, bacaan Tahlil bagi disedekahkan kepada sahabat seperjuangan yang telah kembali ke rahmatullah, sesi bergambar kenangan dan acara memotong kek Ulang Tahun Ke-25.

Majlis berkenaan turut menjadi kesempatan bagi para sahabat yang hadir untuk bertukar cerita, berkongsi pengalaman serta mengimbau kembali kenangan yang dilalui bersama sepanjang 25 tahun lalu.

Sementara itu, wakil Pengambilan 116 dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas komitmen serta sokongan semua sahabat seperjuangan yang hadir bagi sama-sama menjayakan majlis tersebut.

Menurut beliau, perjumpaan berkenaan bukan sekadar menjadi ruang untuk mengenang kembali kenangan lalu, malah membuktikan kukuhnya ikatan persahabatan dan kekeluargaan yang telah terjalin sejak lebih dua dekad lalu.

“Perhimpunan malam ini bukan sekadar mengimbau kenangan lalu, tetapi merupakan salah satu wadah untuk mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan serta mengukuhkan hubungan persahabatan yang telah kita bina sejak 25 tahun lalu,” katanya.

Beliau turut berharap agar acara seumpama itu akan terus dilaksanakan pada setiap tahun bagi mengukuhkan perpaduan serta mengekalkan tali silaturahim sesama rakan seperjuangan.

Majlis berakhir dengan hasrat agar hubungan silaturahim yang terjalin dalam kalangan anggota dan bekas anggota Pengambilan 116 akan terus dipelihara melalui pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan pada masa akan datang.