Oleh : Khartini Hamir
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TUNGKU LINK, Selasa, 11 Ogos. - Usaha berterusan seluruh warga Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam memperkukuh kualiti pendidikan, penyelidikan dan kerjasama strategik kini semakin membuahkan hasil.
UBD terus mencatat peningkatan dalam penilaian universiti bertaraf dunia, termasuk Times Higher Education (THE) dan QS World University Rankings. Dalam THE Asia University Rankings pula, UBD melonjak 31 anak tangga ke kedudukan 113 terbaik di Asia.
Pencapaian ini didorong oleh peningkatan dalam beberapa petunjuk utama, termasuk aspek pengajaran, persekitaran penyelidikan dan industri. Ini mencerminkan peningkatan mutu akademik, kecemerlangan penyelidikan dan keyakinan industri serta masyarakat antarabangsa terhadap UBD.
Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle mengongsikan mengenai perkara itu dalam sembah alu-aluannya pada Majlis Konvokesyen UBD Ke-38 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD di sini, pagi tadi.
Kecemerlangan ini sembah beliau lagi, turut diterjemahkan dalam QS World University Rankings by Subject 2026, di mana sebanyak 10 bidang pengajian UBD kini tersenarai dalam penarafan dunia, dengan enam bidang mencatat peningkatan dan lima bidang mencapai kedudukan terbaik dalam rekod UBD.
Di samping itu, UBD School of Business and Economics (UBDSBE) juga telah diiktiraf di kedudukan ke-17 dunia dalam senarai Top 30 Business Schools of the Islamic Economy 2026, sekali gus membuktikan bahawa kecemerlangan tidak ditentukan oleh saiz sesebuah negara, tetapi oleh iltizam, kualiti dan usaha yang berterusan.
Dari segi penyelidikan, Naib Canselor UBD menyembahkan bahawa tahun 2025 menyaksikan UBD menghasilkan hampir 1,000 penerbitan iaitu jumlah tertinggi yang pernah dicapai UBD, dengan jumlah petikan melebihi 45,000 citations.
Naib Canselor UBD seterusnya menyembahkan UBD mengukir sejarah apabila menjadi institusi pertama di Brunei Darussalam melaksanakan misi penyelidikan yang menghantar benih tumbuhan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (International Space Station, ISS) menerusi misi SpaceX hasil kerjasama strategik dengan Space Faculty dari Republik Singapura.
Pencapaian ini menunjukkan keupayaan penyelidikan UBD dalam bidang sains angkasa, dan membuka lembaran baharu kepada pembangunan kapasiti modal insan tempatan dalam bidang sains tumbuhan, sains angkasa, bioteknologi serta penyelidikan berkaitan ketahanan tanaman dan food security demi pembangunan mampan negara selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035, sembah Naib Canselor UBD lagi.
UBD juga sembahnya, turut memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara melalui penubuhan Brunei Aquaculture Innovation Centre (BAIC) hasil kerjasama strategik dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) serta rakan-rakan industri dalam dan luar negara bagi memacu pembangunan sektor akuakultur negara.
Selain itu, UBD juga memperkukuh tadbir urus universiti melalui penyelarasan pusat-pusat penyelidikan bagi mengurangkan pertindihan fungsi, memperjelas akauntabiliti, memperkukuh hubungan antara akademik dan penyelidikan serta meningkatkan kecekapan penyampaian.
“Dalam pada itu, UBD terus memperkukuh kedudukannya di persada antarabangsa apabila diterima sebagai ahli Association of Pacific Rim Universities (APRU), menjadi ahli pengasas University Strategic Alliance bersama The Education University of Hong Kong (EduHK), serta menyertai ASEAN Teacher Education Network (AsTEN), Asian Universities Alliance (AUA) dan University Social Responsibility Network (USRN).
"Pencapaian ini mencerminkan keyakinan komuniti akademik antarabangsa terhadap keupayaan UBD, sekali gus memperkukuh jaringan global dan membuka peluang baharu untuk kolaborasi," sembahnya.
Naib Canselor UBD juga sukacita menyembahkan bahawa seiring dengan kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan, UBD turut memperkukuh ekosistem inovasi dan pengkomersialan bagi memastikan setiap hasil penyelidikan bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu, malah diterjemahkan kepada teknologi, produk, perkhidmatan dan perusahaan yang memberi impak kepada masyarakat, industri serta pembangunan ekonomi negara.
Usaha ini juga bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80, yang menzahirkan harapan agar generasi muda bukan sekadar menjadi penonton kepada perubahan dan penggunaan teknologi ciptaan orang lain, tetapi bangkit sebagai pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan.
Naib Canselor UBD menyembahkan berlandaskan aspirasi tersebut, UBD akan terus memupuk budaya inovasi dan keusahawanan sejak awal pengajian di mana semua pelajar GenBESTARI akan mengikuti modul Venture Mindset pada tahun pertama.
Modul ini memberi penekanan kepada pembentukan pemikiran keusahawanan, kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta keupayaan mengenal pasti peluang sebagai asas melahirkan graduan yang inovatif dan berdaya saing.
Melalui UBD Entrepreneurship Blueprint dan UBD Commercialisation Pathway, UBD berusaha menyediakan ekosistem yang menyeluruh merangkumi pembangunan teknologi, perlindungan harta intelek, Pembangunan prototaip, pembiayaan awal, bimbingan keusahawanan, penglibatan industri serta akses ke pasaran.
Ekosistem ini diperkukuh melalui Venture Pathway, Venture-X, Startup Induction Grant (SIG), Innovation Grant, serta rangkaian mentor (UMEN) dan kerjasama strategik dengan rakan industri, agensi kerajaan dan institusi inovasi terkemuka seperti A*STAR (Singapura), MIMOS Berhad (Malaysia) dan Hong Kong Science and Technology Parks Corporation (HKSTP), bagi mempercepat penterjemahan hasil penyelidikan dan paten UBD kepada inovasi yang mampu menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
Kesemua inisiatif ini sembah beliau lagi, mencerminkan komitmen UBD, dalam membangunkan ekosistem yang lebih bersepadu, menghubungkan pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan, keusahawanan, bimbingan mentor, pembiayaan syarikat pemula, pengkomersialan hasil penyelidikan dan kerjasama industri.
Menurutnya, ekosistem ini mula membuahkan hasil apabila inovasi dan bakat warga UBD terus mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya, UBD menjuarai AI Ready ASEAN Youth Challenge 2026 di Singapura melalui pembangunan penyelesaian AI untuk penjagaan pesakit demensia, selain menerima Merit Award di International Space Challenge 2025.
Dr. Hazri seterusnya menyembahkan bahawa bagi melengkapi usaha memperkukuh kecemerlangan universiti, UBD turut melaksanakan pelbagai inisiatif transformasi institusi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkasa pendigitalan serta mempertingkat kesejahteraan seluruh warga universiti.
Pada tahun ini, UBD telah melancarkan UBD Digital Transformation Blueprint 2030 sebagai kerangka strategik yang akan membimbing transformasi digital universiti.
"Blueprint ini disokong oleh pembangunan NADI (Nexus for Architecture, Data and Intelligence) sebagai platform digital bersepadu universiti, pengenalan UBD AiQ, penubuhan AISEnse serta pencapaian akreditasi ASEAN University Network Digital Transformation Capability Level 1 (CL1).
"Kesemua inisiatif ini meletakkan asas yang kukuh bagi membolehkan UBD memanfaatkan data, kecerdasan buatan dan teknologi digital untuk mempertingkatkan pengalaman pembelajaran, penyelidikan serta penyampaian perkhidmatan universiti," sembahnya.
Bermula Sesi Akademik 2026 / 2027, UBD juga akan memperkenalkan UniStart sebagai pengalaman permulaan universiti yang lebih menyeluruh bagi membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan budaya universiti, memahami nilai-nilai UBD serta membina asas yang kukuh untuk kejayaan akademik dan pembangunan sahsiah.
Bagi memastikan persekitaran kampus yang selamat, inklusif dan saling menghormati, UBD tegasnya memperkenalkan Dasar Zero Tolerance terhadap buli, gangguan seksual, keganasan, penyalahgunaan dadah, alkohol, merokok dan vaping sebagai komitmen untuk melindungi kesejahteraan seluruh warga universiti.
Di samping itu, pelbagai projek penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan kampus juga sedang dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran kampus yang lebih kondusif, selamat dan selesa demi kesejahteraan seluruh warga universiti.
Selaras dengan komitmen terhadap pembangunan mampan sembahnya lagi, UBD turut melaksanakan Campus Greening Roadmap melalui penanaman pokok tempatan dan endemik serta pemuliharaan kawasan berhutan di kampus, bagi memperkukuh biodiversiti dan merealisasikan aspirasi UBD sebagai sebuah University in the Heart of a Living Forest.
"Segala perkembangan dan pencapaian ini bukanlah untuk mengejar penarafan dunia semata-mata, tetapi untuk membina sebuah universiti yang memberi manfaat kepada negara dan masyarakat sejagat.
"Berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) serta aspirasi Wawasan Brunei 2035, UBD akan terus melahirkan graduan yang berilmu, berakhlak mulia, berdaya saing dan mampu memimpin masa depan negara," sembah beliau.