Pameran terapkan ilmu pengetahuan, kreativiti, penyelidikan

25 Og 2026 - 9:29am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

TUNGKU LINK, Isnin, 24 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) berkenan menyaksikan Pameran Bertemakan Meraikan 40 Tahun Keupayaan dan Inovasi (Celebrating 40 Years of Talents and Innovations) sejurus merasmikan Pesta Konvokesyen UTB Ke-11, 2026 bertempat di Dewan Serbaguna, UTB, pagi tadi.

Sebanyak enam projek hasil karya para graduan yang mewakili pelbagai bidang pengajian serta memperlihatkan penerapan ilmu pengetahuan, kreativiti, penyelidikan dan inovasi.

Di ruang pameran, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah mula-mula dijunjung menyaksikan petak pameran yang mengetengahkan sebuah projek penyelidikan bertajuk ‘The Mediating Effects of Technology Use on the Relationships Between Interactions, Collaboration, Motivation and Self-Directed Learning in Higher Education in Brunei Darussalam’ yang dihasilkan oleh Dayang Hartiny binti Dr. Haji Azmi iaitu salah seorang bakal graduan Ijazah Doktor Falsafah dalam Komunikasi, Sekolah Komunikasi Gunaan.

Dalam projek penyelidikan berkenaan antaranya bertujuan untuk mengupas satu persoalan penting mengenai sistem pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam (NBD) iaitu bagaimana teknologi dapat mengubah interaksi, kolaborasi, dan motivasi pelajar secara berkesan menjadi pembelajaran kendiri.

Oleh itu, dalam kajian ini, satu tinjauan telah dijalankan melibatkan 336 pelajar prasiswazah dari UTB dan Universiti Brunei Darussalam (UBD). Hasil kajian menunjukkan satu pola yang jelas iaitu interaksi, kolaborasi, dan motivasi tidak mengukuhkan pembelajaran kendiri secara langsung; sebaliknya, sumbangan faktor-faktor ini menjadi signifikan melalui penglibatan pelajar dalam penggunaan teknologi.

Dapatan ini membuktikan bahawa teknologi tidak seharusnya dianggap sekadar sebagai infrastruktur sedia ada, malah perlu dilihat sebagai pemangkin keupayaan pelajar. Oleh itu, memperkukuh keupayaan ini akan membantu individu bersedia untuk menyumbang secara berterusan kepada masa depan NBD.

Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyaksikan petak pameran yang menyerlahkan sebuah projek penyelidikan bertajuk ‘Valorisation of Amaranthus viridis as a Multi-Functional Food Ingredient: Optimisation of Protein Isolation, Functionality and Evaluation of its Bioactive Hydrolysates’ yang dihasilkan oleh Dayang Nur Yasmeen Syukrina binti Mohammed Yussof iaitu bakal graduan Ijazah Sarjana Sains (Secara Penyelidikan) dalam Sains dan Teknologi Makanan di bawah Sekolah Sains Gunaan dan Matematik, UTB.

Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya dijunjung menyaksikan petak pameran yang menampilkan sebuah projek penyelidikan secara berkumpulan berjudul Tambhumi yang diterajui oleh empat bakal graduan dalam Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Kepujian) dalam Ekonomi Gunaan dan Kewangan di bawah Sekolah Perniagaan UTB yang terdiri daripada Dayang Nur Sabrinatasya binti Juraimi, Pinkka Tiara Maharani, Dayang Nurul Nazirah binti Rasiman dan Awang Mohammad Fashli bin Idris.

Seterusnya, DYTM dijunjung menyaksikan petak pameran yang menampilkan projek penyelidikan yang lain iaitu ‘Healthy Worlds: A 3D Exergame for Promoting Physical Activity in Children for the Health Promotion Centre (HPC)’ yang diketengahkan oleh Dayang Annie Dhameerah binti Haji Anuar iaitu salah seorang bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Media Digital Pengkhususan dalam Pembangunan Permainan (Game Development) di bawah Sekolah Pengkomputeran dan Informatik.

Kemudian, DYTM dijunjung menyaksikan petak pameran dua projek penyelidikan terakhir iaitu projek penyelidikan berjudul ‘Design and Development of Community-Based Nutrition Education Materials on Salt Reduction and Weight Management’ oleh Dayang Nurul Syahirah binti Mohammad Shah iaitu bakal pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Makanan dan Nutrisi Manusia di bawah Sekolah Sains Gunaan dan Matematik dan projek penyelidikan bertajuk ‘Marine-Inspired Eveningwear: Exploring the Indonesian Sea Nettle and Oceanic Aesthetics’ yang diterajui oleh Vanessa Pang Wan Ting iaitu seorang bakal graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Reka Bentuk dan Teknologi Fesyen di bawah Sekolah Reka Bentuk.

Menariknya, pameran pada tahun ini memperingati perjalanan UTB selama empat dekad serta komitmennya dalam memupuk bakat, memajukan inovasi dan menghasilkan impak merentas pelbagai disiplin.

Di samping itu, ia juga mencerminkan peranan UTB dalam menyediakan para graduan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang diperlukan untuk memberikan sumbangan bermakna ke arah masa depan yang lestari, berdaya usaha dan berhubung secara global.