Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan
BELAIT, Sabtu, 15 Ogos. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan, Cawangan Daerah Belait telah menjalankan Operasi Usai 187 / 2026 dan 188 / 2026 di kawasan Seria pada 4 Ogos 2026.
Operasi berkenaan bertujuan menguatkuasakan serta memastikan pematuhan terhadap Akta Pekerjaan, Penggal 278 dalam kalangan para majikan.
Hasil pemeriksaan pertama yang dijalankan ke atas sebuah restoran mendapati sebanyak tujuh kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap pekerja.
Kesalahan-kesalahan tersebut ialah Bab 39, gagal membayar gaji pekerja dan gaji lebih masa dan Bab 65, melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan serta Bab 70, gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan.
Seterusnya, Bab 71, gagal memberikan cuti tahunan; Bab 72, gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan; Bab 112(2), menggaji pekerja asing tanpa lesen daripada Pesuruhjaya Buruh dan Bab 112(2), melanggar syarat lesen pengambilan pekerja asing apabila seorang pekerja yang berjawatan sebagai pembungkus diarahkan membuat pekerjaan pentadbiran.
Sementara itu, pemeriksaan kedua yang dijalankan ke atas sebuah kedai runcit mendapati sebanyak tujuh kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278.
Kesalahan-kesalahan tersebut ialah Bab 39, gagal membayar gaji pekerja dan gaji lebih masa; Bab 44, membuat pemotongan gaji pekerja yang tidak dibenarkan dan Bab 63, gagal memberikan cuti rehat serta Bab 64, mengarahkan pekerja bekerja pada hari rehat.
Seterusnya, Bab 65, melebihi jam bekerja yang telah ditetapkan; Bab 70, gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan dan Bab 112(2), melanggar syarat lesen pengambilan pekerja asing apabila seorang pekerja yang berjawatan sebagai pembantu dapur diarahkan melakukan pekerjaan sebagai pelayan dan juruwang.
Siasatan lanjut akan dijalankan berhubung kesalahan-kesalahan yang dipercayai melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278. Jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak melebihi BND1,000 bagi setiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan boleh dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan mengingatkan para majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278.
Antara tanggungjawab berkenaan termasuk membayar gaji tepat pada waktunya, memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan serta memberikan hak cuti tahunan kepada pekerja.
Majikan juga diingatkan supaya membiayai tiket perjalanan pulang pekerja yang telah tamat kontrak perkhidmatan. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan melalui talian +673 2381848 semasa waktu bekerja atau +673 7298989 di luar waktu bekerja.