Operasi Kakas kesan pelbagai kesalahan

18 Og 2026 - 5:24am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 17 Ogos. - Operasi Kakas Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) 2026 terus giat dilaksanakan oleh Penguatkuasa Undang-Undang Cawangan Bandar Seri Begawan bagi membendung pesalah-pesalah imigresen di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Operasi Kakas 81 / 2026 menyasarkan di lima lokasi iaitu rumah dan bilik-bilik sewa di Mukim Sengkurong. Hasil daripada pemeriksaan-pemeriksaan yang dijalankan, 22 warga asing telah diperiksa dan sembilan daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut.

Daripada jumlah tersebut, lapan warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15 (1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresen mereka mansuh. Salah seorang daripada yang ditahan juga dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 iaitu tidak bekerja dengan majikan asal. Manakala itu, seorang lagi warga asing yang ditahan gagal mengemukakan dokumen asal.

Bagi Operasi Kakas 82 / 2026 pula menyasarkan bilik sewa di Mukim Kilanas, pemeriksaan terhadap seorang warga asing telah pun membawa kepada penahanan Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 36, Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu masuk semula ke negara ini setelah diusir secara sah dan Bab 6(1)(c) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas imigresen yang sah.

Hasil daripada siasatan yang dijalankan telah pun membawa kepada sesi pendakwaan bagi individu yang ditahan pada Operasi Kakas 82 / 2026 yang mana Ahad bin Tossen, seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 68 tahun dijatuhkan hukuman setelah melakukan kesalahan di bawah Bab 36, Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu masuk semula ke negara ini setelah diusir secara sah.

Selain itu, Ahad bin Tossen turut melakukan kesalahan di bawah Bab 5(1), Akta Imigresen Penggal 17 iaitu masuk ke negara ini tanpa melalui Pos Kawalan yang diisytiharkan dan Bab 6(1)(c) Akta Imigresen Penggal 17 iaitu masuk dan tinggal di negara ini tanpa mempunyai pas imigresen yang sah.

Beliau dikenakan hukuman penjara selama 1 tahun dan denda sebanyak BND2,000 sebagai ganti sebatan. Beliau gagal membayar denda yang dikenakan dan digantikan dengan pemenjaraan selama 2 bulan yang mana menjadikan jumlah pemenjaraan beliau kepada 1 tahun 2 bulan. Hukuman berkuat kuasa pada 11 Ogos 2026.

Operasi Kakas 84 / 2026 menyasarkan di kawasan persekitaran di Mukim Labi, seramai dua warga asing diperiksa dan seorang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah pas imigresennya mansuh.