Berita dan Foto : Ihsan Nuqra Quranic Lambak
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Nuqra Quranic Lambak menganjurkan program cuti sekolah Nuqra Fit & Faith 2.0: Classic Edition khusus bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun.
Program tersebut bertujuan memperkenalkan semula permainan tradisional seperti congkak, ‘carrom’, batu seremban dan guli, di samping menggalakkan peserta untuk lebih aktif, bekerjasama serta berinteraksi bersama rakan-rakan.
Setiap permainan turut diselitkan dengan penerapan nilai-nilai Islam seperti sabar, jujur, fokus, istiqamah dan menjaga adab ketika menang atau kalah, selaras dengan tema program ‘Main Tradisi, Bina Akhlak’.
Pengurus Nuqra Quranic Lambak, Awang Md. Ariffin bin Abd. Kahar, berkata program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali permainan yang pernah dimainkan oleh generasi terdahulu, malah membantu mereka menghayati nilai dan pengajaran yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan permainan tradisional yang dipadukan dengan pendidikan akhlak dan nilai Islamik diharap dapat membentuk sahsiah peserta secara lebih menyeluruh.
Penganjuran program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Nuqra Quranic untuk menyediakan aktiviti cuti sekolah yang menyeronokkan, bermanfaat dan berteraskan nilai-nilai Islam, sekali gus memberi pengalaman pembelajaran yang seimbang dari aspek fizikal, sosial dan kerohanian kepada para peserta.