MMN wadah penting kongsi pandangan antara kerajaan, rakyat

9 Og 2026 - 7:35am

Oleh : Norliah Md. Zain

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Penggubalan Kod Etika dan pengemaskinian ke atas prosedur dan proses kerja menurut Peraturan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yakni Standing Order menggambarkan keyakinan kepercayaan dan harapan tinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap peranan MMN.

MMN merupakan wadah penting bagi perkongsian pandangan di antara pihak kerajaan dan rakyat dalam memajukan agenda pembangunan terutamanya dalam membahaskan perkara-perkara utama yang menghasilkan impak positif terhadap kesejahteraan rakyat.

Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berkata demikian ketika membincangkan dan menyokong Penggubalan Dokumen Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Secara peribadi, Yang Berhormat menjunjung penuh di atas limpah kurnia titah baginda dan percaya sebagaimana juga hasrat baginda Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-ahli MMN ini akan meningkatkan lagi kewibawaan dan martabat Dewan ini melalui perbincangan yang lebih teratur, fokus dan berkesinambungan.

Kerana itu, Yang Berhormat ingin menjunjung kasih di atas kurnia titah baginda atas keutamaan bagi menyediakan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN yang prinsip dan inti patinya ialah untuk menjaga integriti dan amanah yang dipikulkan kepada dewan yang mulia ini berpandukan standard moral dan profesional ahli supaya ianya tidak tercemar oleh unsur-unsur yang tidak diingini.

Pada hemat Yang Berhormat, Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN sebagai satu rangka asas yang menjadi panduan kepada Ahli-ahli MMN mengenai nilai etika, tatakelakuan dan peraturan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih efektif, berhemah lagi berintegriti.

Untuk itu, Yang Berhormat ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam Jabatan MMN di atas inisiatif penggubalan kod ini yang diterajui oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin.

Pada pandangan Yang Berhormat, dengan adanya kod ini ianya akan memandu Ahli-Ahli Yang Berhormat semua untuk mengukuhkan tadbir urus, kredibiliti, akauntabiliti dan profesionalisme MMN ini.

Yang Berhormat bersetuju pada prinsipnya asas kod ini ialah untuk melindungi dan membentuk kepercayaan awam yakni ‘public trust’ antara Ahli Majlis Mesyuarat dan orang ramai selaras dengan kedudukan ahli sebagai penjawat amanah berkepentingan awam.

Kod ini juga jelas Yang Berhormat, mempunyai peranan mempertahankan imej serta martabat institusi MMN dalam menyempurnakan amanah yang dipikulkan dengan berasaskan kesetiaan pada agama, raja dan negara.

Peluang dan tanggungjawab untuk menyumbang kepada negara dan rakyat ini kata Yang Berhormat perlu dijalankan dengan sebaik mungkin dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab.

Yang Berhormat percaya dengan adanya Kod Etika dan Tatakelakuan, ia sudah setentunya akan mengukuhkan keberkesanan dewan dan akan mencerminkan kematangan dan profesionalisme Ahli-ahli Yang Berhormat seperti yang dihasratkan kerana ia merupakan sebahagian dari dasar dan prosedur rasmi MMN yang diguna pakai sepanjang berkhidmat sebagai ahli memandangkan semua Ahli MMN adalah terikat dan perlu sentiasa mematuhi udang-undang negara.

Yang Berhormat juga bersetuju sepenuhnya terhadap lima teras utama Kod Etika ini, iaitu kesetiaan, integriti, profesionalisme, ketelusan dan hormat menghormati.

Tambah Yang Berhormat, kesetiaan tidak berbelah bahagi Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta Perlembagaan Negara Brunei Darussalam dan berpegang teguh kepada falsafah Melayu Islam Beraja, adalah elemen terpenting dalam mengawal tatakelakuan Ahli-ahli MMN yang sepatutnya dipelihara setiap masa di mana saja kita berada.

Yang Berhormat juga bersetuju sepenuhnya terhadap tanggungjawab Ahli MMN yang digariskan dalam Clause 2.2 dalam Kod Etika itu terutama yang menghendaki ahli-ahli untuk berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama yakni ‘collective responsibility’ kerana ianya menghendaki ahli-ahli untuk sentiasa bertindak dengan penuh akauntabiliti, berhemah, lagi lutanan demi memelihara integriti majlis dan memberi keutamaan kepada kepentingan awam dengan jujur, amanah, berpegang teguh kepada prinsip moral, sentiasa mempamerkan sifat, nilai dan kemahiran profesional serta bertindak dengan penuh kejujuran dan mengamalkan sikap hormat menghormati serta semangat kerjasama.

Begitu juga mengenai konflik kepentingan (conflict interest) kata Yang Berhormat, yang dimuatkan dalam Clause 6 Kod Etika ini terutamanya yang berkaitan dengan ‘clause’ mengenai penyalahgunaan kuasa dan kedudukan.

“Kaola berpendapat ‘clause’ ini adalah selaras dan bertepatan dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Jun 2026 yang berkaitan dengan menjalankan tanggungjawab yang diberikan dengan jujur, berintegriti dan beretika dalam sama-sama memastikan jentera kerajaan sentiasa bebas dari sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat berkata Clause 6, 6.1 hingga 6.4 yang berkaitan dengan ‘conflict interest’ dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan yang terdapat dalam Kod Etika ini adalah bertepatan dengan titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Diakhir ucapan, Yang Berhormat secara dasarnya menyokong sepenuhnya prinsip dan inti pati Kod Etika dan TataKelakuan ini sebagai panduan Ahli-ahli Yang Berhormat dalam melaksanakan tanggungjawab semasa menjadi Ahli MMN ini.