Mengukuhkan silaturahim, meningkatkan ukhuwah jemaah MRSB, Bintulu

13 Og 2026 - 5:24am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Ogos. – Rombongan jemaah Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar telah mengadakan lawatan muhibah ke Bintulu, Sarawak baru-baru ini. Lawatan muhibah yang diadakan selama tiga hari itu mencerminkan semangat untuk terus mempereratkan lagi hubungan silaturahim dan seterusnya memperkukuhkan ukhuwah antara Masyarakat Islam di kedua-dua pihak.

Rombongan seramai 67 orang yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah MRSB, Kampung Sungai Akar serta jemaah dari masjid lain itu diketuai bersama oleh Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong dan Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Penaung Bersama MRSB.

Lawatan yang mengetengahkan tema ‘Satu Perjalanan, Seribu Kenangan Ukhuwah’ tersebut bukan sekadar suatu perjalanan fizikal, tetapi juga satu usaha untuk mengukuhkan silaturahim, meningkatkan ukhuwah serta menimba pengalaman dan ilmu dalam suasana yang penuh keberkatan.

Selain itu, ia juga merupakan satu peluang untuk berinteraksi dan bermuzakarah memberi ruang kepada rombongan lawatan untuk meninjau sendiri dan mempelajari tatacara pengurusan masjid berserta kepelbagaian aktiviti yang dikendalikan oleh masjid-masjid yang dilawati.

Program utama lawatan muhibah mengambil tempat di Masjid At-Taqwa RPR Sibiew yang mana ahli rombongan berpeluang mendengar taklimat, berbincang, melawat Madrasah At-Taqwa, ikut serta dalam persembahan Haflah Al-Quran, mempersembahkan Dikir Brunei, menikmati persembahan qasidah dan jamuan makan bersama, dan seterusnya menyampaikan wakaf serta beberapa bakul sembako yang berisi bahan dan barangan asas makanan seharian kepada lebih dari 55 keluarga fakir miskin.

Semasa berada di Bintulu, ahli rombongan juga berkesempatan melawat dan berinteraksi bersama Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah di Masjid Daerah Bintulu dan Surau Darussyakirin serta juga mengadakan lawatan ke Wisma Bintulu Development Authority (BDA) dan menghadiri majlis jamuan makan malam yang dihoskan oleh pihak BDA.

Sebelum ini, pihak MRSB pernah mengadakan lawatan muhibah ke Banda Aceh, Riau dan Sumatera Barat, Indonesia dan juga ke Masjid Imam Haji Awang Hashim, Pekan Sipitang, Sabah dan Masjid At-Taqwa, Miri, Sarawak iaitu sebagai suatu aktiviti riadah, bersilaturahim dan pendedahan pengalaman serta ilmu dalam mengimarahkan masjid.

Dalam masa yang sama, untuk menghargai dan mensyukuri nikmat serta ujian kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala, dalam kalangan peserta-peserta selaras dengan visi MRSB untuk menjadikan masjid berkenaan sebagai pusat ibadah dan perkembangan ilmu dan pengukuhan ukhuwah bagi membentuk masyarakat yang bertakwa, beriman dan beramal soleh bagi mencapai hasrat Negara Zikir.