Oleh : Khartini Hamir
Foto : Dk. Nurhafilah Pg. Osman
GADONG, Rabu, 19 Ogos. - Negara Brunei Darussalam terus berdepan dengan beban faktor risiko Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang sebahagian besarnya boleh dicegah.
Data kaji selidik kebangsaan sebelum ini menunjukkan kadar berat badan berlebihan dan obesiti yang tinggi, pemakanan tidak sihat, aktiviti fizikal yang tidak mencukupi, penggunaan tembakau, hipertensi serta faktor risiko kardio metabolik yang lain.
Pengambilan garam yang berlebihan dan pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran yang rendah juga merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian.
Cabaran-cabaran ini tidak dapat ditangani melalui pendidikan kesihatan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan seluruh negara dan seluruh masyarakat.
Pilihan dan tingkah laku individu turut dipengaruhi oleh persekitaran tempat mereka tinggal, belajar, bekerja dan bersosial.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sedang membangunkan Pelan Tindakan Pelbagai Sektor Negara Brunei Darussalam bagi Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit serta Promosi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan 2026-2035 (BruMAP-NCDMH 2026-2035).
Pelan ini akan menjadi kerangka kebangsaan bagi menyelaras tindakan dalam mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit, mempromosikan kesihatan mental dan kesejahteraan, serta meningkatkan tahap kesihatan, kefungsian dan kualiti hidup penduduk secara keseluruhannya.
BruMAP-NCDMH 2026-2035 dibangunkan berasaskan asas yang telah diwujudkan melalui BruMAP NCD 2021-2025, Pelan Tindakan Kesihatan Mental 2022-2025, serta dasar, program dan pelaburan kesihatan negara yang lain.
Negara Brunei Darussalam juga mempunyai beberapa kekuatan penting termasuk komitmen di peringkat tinggi terhadap kesihatan, sistem penjagaan kesihatan yang dibiayai kerajaan, perkhidmatan penjagaan kesihatan primer dan kepakaran yang telah mantap, program pencegahan dan saringan kebangsaan, platform digital, kaji selidik dan daftar kebangsaan, serta kepakaran profesional dan teknikal yang kukuh.
Objektif sesi konsultasi dalam negara ini adalah untuk mengenal pasti dan mencapai persetujuan mengenai kerangka serta tindakan baharu di bawah BruMAP-NCDMH 2026-2035 dengan bantuan pakar perunding dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sesi konsultasi yang disampaikan oleh Konsultan WHO, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Feisul Idzwan bin Dato Mustapha itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan daripada agensi kerajaan, sektor swasta serta pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.
Melalui sesi konsultasi BruMAP-NCDMH 2026-2035 ini, usaha, pandangan dan cadangan daripada pelbagai agensi akan diselaraskan dengan keutamaan negara dalam pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit serta promosi kesihatan mental dan kesejahteraan dalam kalangan penduduk Negara Brunei Darussalam, di samping mendukung pencapaian Wawasan Brunei 2035, khususnya ‘Matlamat Kualiti Kehidupan yang Tinggi’.