Menerapkan amalan lestari untuk mengurangkan pembaziran tenaga

13 Og 2026 - 5:33am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Azmah Haji Ahad

RIMBA, Rabu, 12 Ogos. - Kumpulan WattSavers melalui Program Eksekutif Muda Kohort 11 pagi tadi mengadakan Sesi Dialog FutureWatt, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjimatan tenaga dan amalan-amalan yang lestari.

Sesi dialog tersebut merupakan salah satu daripada Projek FutureWatt, iaitu projek khidmat masyarakat (COP) di bawah Program Eksekutif Muda yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam (IPA), menghimpunkan seramai empat penghulu mukim, 16 ketua kampung, serta wakil dari kementerian dan agensi kerajaan.

Majlis yang berlangsung di Dewan An-Najah, IPA berkenaan diisikan dengan sesi pembentangan daripada Ketua Unit Kecekapan dan Penjimatan Tenaga, Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran (DoEUD), Awang Zulfadli bin Abu Bakar; dan Penolong Pengurus Korporat, Unified Smart Metering Services (USMS), Awang Mohd. Nabil Fikri @ Abdul Hafiz bin Begawan Mudim Haji Suhaili.

Pembentangan pertama memberi tumpuan kepada kepentingan penjimatan tenaga memandangkan isu perubahan iklim semakin tenat dan memperkenalkan amalan lestari yang dapat diterapkan untuk mengurangkan pembaziran tenaga. 

Menurut DoEUD, penghawa dingin merupakan pengguna tenaga elektrik terbesar di Negara Brunei Darussalam. 

Dengan itu, Awang Zulfadli membentangkan cara-cara untuk menggunakan penghawa dingin secara berhemah, seperti menghidupkan kedua-dua penghawa dingin dan kipas untuk memastikan pengedaran udara dalam ruangan.

Topik pembentangan seterusnya adalah mengenai fungsi dan kelebihan USMS, serta kesalahfahaman orang awam terhadap sistem tersebut.

Awang Mohd. Nabil Fikri @ Abdul Hafiz mengongsikan bacaan meter baharu adalah lebih tepat berbanding dengan meter lama, dan ia juga boleh digunakan melalui aplikasi telefon pintar yang mempunyai keupayaan untuk memantau penggunaan elektrik bagi tempoh masa yang tertentu - iaitu secara setiap jam, mingguan atau bulanan.

Acara diteruskan dengan sesi dialog yang dipengerusikan oleh Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune.

Ahli-ahli panel dan moderator membincangkan kepercayaan masyarakat terhadap penggunaan elektrik, dan menekankan bahawa penjimatan tenaga adalah tanggungjawab setiap individu.

Sesi kedua bagi acara pagi tadi adalah majlis penyampaian cenderamata kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan Projek FutureWatt yang disempurnakan oleh Pengarah IPA, Dr. Dayang Hajah Noor Maya binti Haji Md. Salleh selaku tetamu kehormat.

Atur cara dimulakan dengan kata-kata aluan yang disampaikan oleh Dr. Vivi Nabilah binti Shaya, wakil daripada kumpulan WattSavers.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Vivi Nabilah menegaskan bahawa mesej utama FutureWatt adalah ringkas: perubahan tidak semestinya bermula dengan langkah besar, tetapi dengan kesedaran dan tindakan kecil yang berterusan.

Tegasnya lagi, tindakan-tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten juga boleh membawa kepada perubahan yang bermakna, selaras dengan slogan FutureWatt : 'Small Actions, Big Difference'.

Sebagai khidmat kepada masyarakat, 20 lampu solar yang ditaja oleh MegaWatt Solar Solutions dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam dihadiahkan kepada penghulu mukim dan ketua kampung, selaku FutureWatt Energy Champions yang telah dikenal pasti.

"Sumbangan ini diharapkan dapat disalurkan semula kepada komuniti-komuniti di kampung masing-masing untuk dimanfaatkan sebaiknya.

"Lampu solar tersebut bolehlah digunakan mengikut kesesuaian dan keperluan komuniti, sama ada di kawasan awam seperti taman rekreasi, masjid atau kebun, mahupun untuk membantu kediaman keluarga yang memerlukan," ujar Dr. Vivi Nabilah.

Majlis diakhiri dengan lawatan ke pameran yang disediakan oleh Seria Energy Lab, Unified Smart Metering Services, dan Alumni Y-Lite 2025.

Sesi dialog tersebut merupakan acara kedua bagi Projek FutureWatt, yang mana acara pertama adalah pameran mini yang diadakan di Bandarku Ceria pada 2 Ogos 2026.

Projek berkenaan ditaja oleh GoMamam, bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai penjimatan tenaga dan menangani pembaziran elektrik.