Berita dan Foto : Ihsan Persatuan Usahawan Muda Brunei
SIEM REAP, CAMBODIA, Sabtu, 22 Ogos. - Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) terus mengukuhkan penglibatan di peringkat serantau dengan menyertai program ‘ASEAN-China Women Entrepreneurs Exchange: Addressing Challenges and Advancing Leadership in MSME Development’, yang berlangsung dari 18 hingga 20 Ogos yang lalu di Siem Reap, Kemboja.
Hadir bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Presiden YEAB, Goh Chai Li.
Program berkenaan menghimpunkan usahawan wanita, wakil kerajaan, persatuan perniagaan dan pihak berkepentingan sektor swasta dari negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China bagi bertukar pengalaman serta membincangkan langkah-langkah memperkukuh sokongan terhadap Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) yang diterajui wanita.
Pada hari pertama, Presiden YEAB bersama wakil dari Kemboja, Republik Rakyat China dan Malaysia menyertai sesi bertajuk ‘Policies and Support Mechanisms to Promote Gender-Inclusive MSME Development: Role of Government and Private Sector in Supporting Women-Led MSMEs’.
Sesi tersebut mengetengahkan peranan kerajaan, sektor swasta dan persatuan perniagaan dalam menyokong usahawan wanita serta memperkukuh daya tahan dan perkembangan perniagaan yang diterajui oleh wanita.
Program turut merangkumi lawatan kerja yang dianjurkan oleh Cambodia Women Entrepreneurs Association (CWEA), termasuk kunjungan ke beberapa perusahaan tempatan, Angkor Silk Farm oleh Artisans Angkor dan Satcha-Cambodia Handicraft Center.
Lawatan berkenaan memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali lebih dekat perusahaan di Kemboja, selain bertukar pandangan serta pengalaman mengenai pembangunan perniagaan dan keusahawanan wanita.
Pada hari terakhir, para peserta menyertai perbincangan berkumpulan merentas negara bagi mengenal pasti cabaran bersama yang dihadapi MSME yang diterajui wanita serta mengemukakan cadangan di peringkat serantau.
Presiden YEAB turut menyumbang pandangan dalam perbincangan tersebut dan membentangkan hasil serta cadangan kumpulan, termasuk berkongsi perspektif NBD sebagai sebahagian daripada pertukaran pandangan serantau.
Penyertaan YEAB dalam program berkenaan bukan sahaja mengukuhkan jaringan dengan usahawan wanita dan pihak berkepentingan dari ASEAN dan Republik Rakyat China, malah turut memberi ruang untuk mengetengahkan perspektif NBD dalam perbincangan serantau mengenai keusahawanan wanita dan pembangunan MSME.
Program tersebut juga membuka peluang kepada peserta untuk membina jaringan baharu serta meneroka potensi kerjasama serantau pada masa akan datang.
Untuk maklumat lanjut mengenai YEAB, orang ramai boleh melayari laman sesawang ‘yeabrunei.com’ atau mengikuti akaun media sosial ‘@yeabrunei’ di Instagram dan Facebook.