Siaran Akhbar dan Foto : Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Ogos. - Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid dan Muslimah masjid meneruskan lagi Majlis Dikir Maulud bagi malam yang keempat sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, bertempat di masjid berkenaan.
Majlis Dikir Maulud tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Rimba Kawasan 4, Kapten (B) Haji Julkepli bin Haji Ibrahim.
Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran AJK Takmir Masjid, Muslimah masjid dan orang awam bagi sama-sama mengimarahkan masjid.
Dikir Maulud berkenaan diadakan selama 12 malam berturut-turut sehingga 24 Ogos 2026. Bulan Rabiulawal adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, bulan yang penuh keberkatan kerana di dalamnya terdapat Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Di samping mengimarah dan menghidupkan masjid pada malam-malam sebelum tarikh Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, usaha berkenaan diharapkan akan dapat memupuk dan mengeratkan lagi ukhuwah Islamiyyah dalam kalangan masyarakat di semua peringkat umur dan menanamkan nilai keislaman dalam kehidupan seharian.
Dihasratkan ia juga akan dapat melatih masyarakat untuk sentiasa mengingati tarikh Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.