Memperkukuh integriti, akauntabiliti institusi MMN

9 Og 2026 - 7:32am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin semasa membincangkan Usul Penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, mengemukakan cadangan pindaan.

Yang Berhormat mencadangkan pindaan kepada usul, iaitu ‘Memutuskan bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan ini berkuat kuasa mulai 26hb Safar 1448 bersamaan 10hb Ogos 2026M, dan diterima pakai kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Negara’ dipinda kepada ‘Memutuskan bahawa Draf Kod Etika dan Tatakelakuan akan dirujuk kepada satu jawatankuasa untuk meneliti, memperhalusi dan mengemukakan Kod Etika dan Tatakelakuan kepada majlis dalam tempoh enam bulan’.

Pada kesempatan itu, Yang Berhormat menjelaskan bahawa pindaan yang dicadangkan ini bukan bertujuan untuk menolak hasrat murni sokongan pihak kerajaan untuk memperkenalkan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN.

Sebaliknya ingin menegaskan bahawa Yang Berhormat menyokong sepenuhnya usaha memperkenalkan satu Kod Etika dan Tatakelakuan yang jelas, menyeluruh dan berwibawa bagi memperkukuhkan integriti, akauntabiliti serta keyakinan orang ramai terhadap institusi MMN.

Memandangkan Kod Etika dan Tatakelakuan ini akan menjadi dokumen asas yang menggariskan piawaian kelakuan, tanggungjawab, kewajipan dan etika ahli-ahli majlis dan mengambil kira beberapa pandangan yang baru sahaja disampaikan oleh rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, maka dengan itu Yang Berhormat berpendapat adalah baik sekiranya ia dapat diberikan penelitian yang lebih mendalam sebelum diterima pakai oleh majlis.

“Kaola berpandangan bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sekadar satu dokumen pentadbiran, tetapi merupakan dokumen tadbir urus yang akan menjadi rujukan utama dalam menentukan standard kelakuan ahli-ahli majlis.

“Kaola percaya dengan sebuah jawatankuasa, ini akan mempunyai ruang dan masa yang lebih mencukupi untuk meneliti setiap peruntukan secara terperinci. Antara perkara yang boleh diberikan perhatian ialah prinsip-prinsip etika dan integriti ahli, pengisytiharan kepentingan, konflik kepentingan, kerahsiaan maklumat, tatacara aduan, mekanisme penyiasatan, tindakan disiplin serta mekanisme semakan,” terang Yang Berhormat.

Selain itu kata Yang Berhormat, jawatankuasa juga boleh mendapatkan pandangan atau penerangan tambahan daripada pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara, Biro Kawalan Narkotik dan lain-lain pihak berkepentingan bagi memastikan Kod Etika dan Tatakelakuan ini benar-benar mantap, praktikal dan sejajar dengan undang-undang negara.

Yang Berhormat juga ingin menjelaskan bahawa draf Kod Etika dan Tatakelakuan yang telah dikemukakan kepada majlis bukanlah satu dokumen yang sempurna atau muktamad, sebaliknya, ia telah disediakan dengan niat yang ikhlas sebagai satu cadangan awal bagi membantu majlis memulakan perbincangan mengenai keperluan mewujudkan satu Kod Etika dan Tatakelakuan untuk Ahli-ahli Mesyuarat Negara.

Yang Berhormat mengaku bahawa draf ini mungkin disediakan berdasarkan penelitian dan kefahaman beliau terhadap amalan-amalan baik yang diamalkan di beberapa parlimen lain, oleh itu, kemungkinan terdapat aspek-aspek yang masih boleh diperbaiki, diperhalusi atau ditambah baik.

“Kaola juga mengakui bahawa penyediaan draf masih perlu banyak lebih melalui proses perundingan yang menyeluruh, termasuk dengan Ahli-ahli Yang Berhormat atau pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Namun, kaola amat berbesar hati pihak kerajaan telah menerima pakai draf ini sehingga menyokongnya untuk dibawakan ke dewan yang mulia ini. Terima kasih kaola ucapkan atas kepercayaan ini,” ujar Yang Berhormat.

Ke arah itu, Yang Berhormat berharap draf ini dapat dijadikan sebagai satu dokumen asas atau ‘working draft’ untuk memudah cara perbincangan. Atas pertimbangan tersebut itulah, Yang Berhormat mencadangkan agar draf ini dirujukkan ke jawatankuasa khas mengenai Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli-ahli MMN untuk diteliti secara menyeluruh.

Ahli-ahli Yang Berhormat lain jelas Yang Berhormat, akan berpeluang meneliti setiap peruntukan dengan lebih mendalam, mengemukakan pandangan, mencadangkan penambahbaikan serta memastikan bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan yang akhirnya dibentangkan kepada majlis benar-benar mencerminkan pandangan bersama selaras dengan perlembagaan negara, undang-undang yang berkuat kuasa serta amal tadbir yang baik.