Memperkukuh budaya pemedulian, kebersamaan dalam kalangan masyarakat

16 Og 2026 - 5:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukim Berakas ‘B’

BERAKAS, Sabtu, 15 Ogos. - Inisiatif kebajikan Sentuhan Ihsan anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas ‘B’ diteruskan dengan kunjungan bagi menyantuni dan menziarahi beberapa keluarga anak yatim di Mukim Berakas ‘B’.

Hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Pemangku Penghulu Mukim Berakas, Awang Haji Muhammad Suhaimi bin Haji Ibrahim bersama Pemangku Ketua Kampung Manggis 1 dan Manggis 2, Awang Haji Omar bin Haji Mohd. Alli.

Pada kunjungan tersebut, sumbangan daripada hamba Allah turut diserahkan kepada keluarga berkenaan sebagai tanda keprihatinan, kasih sayang dan sokongan dalam membantu meringankan keperluan mereka. Turut hadir, Timbalan Setiausaha MPM Berakas ‘B’, Dayang Haziqah binti Omar.

Sentuhan Ihsan merupakan antara inisiatif kebajikan MPM Berakas ‘B’ yang mula digerakkan pada bulan Ramadan dan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha mendekati serta menyantuni masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan.

Inisiatif berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan kepimpinan akar umbi dalam memperkukuh budaya pemedulian dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat, di samping mengeratkan hubungan antara Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung dan penduduk setempat.

Melalui pendekatan turun padang seperti ini, keperluan dan keadaan masyarakat dapat dilihat dengan lebih dekat, sekali gus membolehkan usaha bantuan dan sokongan disalurkan dengan lebih berkesan melalui kerjasama pelbagai pihak.

MPM Berakas ‘B’ berharap semangat saling membantu dan mengambil berat terhadap kebajikan masyarakat akan terus dipupuk dan diperkukuhkan sebagai tanggungjawab bersama.