Memperkenalkan warisan permainan tradisional kepada generasi muda

17 Og 2026 - 8:21am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Azmah Haji Ahad

BELAIT, Ahad, 16 Ogos.   - Pertandingan Permainan Tradisi Tilu-tilan diadakan bagi memeriahkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, di samping mengangkat warisan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Pertandingan yang berlangsung hari ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lumut Kawasan 1, Kawasan 2 dan Kawasan 3 dengan kerjasama Kampung Pandan 'A' serta Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Daerah Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah - hadiah pertandingan kepada para pemenang, Pemangku Pengarah DBP (DBP), Awang Suip bin Haji Abd. Wahab.

Turut hadir, Penghulu Mukim Sungai Liang, Awang Haji Mohamad Yamin bin Haji Abdul Ranni serta isteri.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Suip menekankan bahawa permainan Tilu-tilan bukan sekadar hiburan orang lama, malah mengandungi nilai estetika dan identiti bangsa Negara Brunei Darussalam (NBD) yang tinggi.

Menurutnya lagi, usaha mengekalkan permainan tradisi seperti Tilu-tilan amat penting, khususnya dalam era digital bagi memastikan generasi muda tidak melupakan akar budaya mereka.

Beliau turut menyifatkan penganjuran pertandingan berkenaan sebagai bukti peranan perpustakaan dan institusi kampung sebagai pusat integrasi sosial yang dinamik, selain menjadi platform untuk mengeratkan kemesraan, kerjasama dan semangat kejiranan tanpa mengira usia.

"Hubungan bahasa, tulisan, dan budaya tidak boleh dipisahkan. Ketiga-tiganya membentuk jati diri rakyat Brunei yang kukuh di bawah falsafah Melayu Islam Beraja (MIB)," jelasnya.

"Sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Brunei 2027, penekanan kepada kebudayaan dan permainan tradisi merupakan aset bernilai yang perlu diperlihatkan berdamping dengan nilai jati diri bangsa Melayu yang tinggi, kerana pelancong bukan sahaja ingin menikmati keindahan alam, malah mencari pengalaman budaya yang unik.

"Acara tradisi seperti ini perlu diangkat dan diwujudkan sebagai kegiatan tahunan yang tersusun bagi menarik pelancong, sekali gus mempamerkan keunikan identiti Brunei ke mata dunia," ujarnya lagi.

Awang Suip seterusnya berharap kolaborasi antara perpustakaan, MPK dan masyarakat setempat akan terus diperkukuh dan dikekalkan demi memartabatkan bahasa, tulisan serta warisan budaya negara.

Pertandingan berkenaan mempertandingkan tiga kategori, iaitu Kategori Kanak-Kanak, Kategori Muda Mudi dan Kategori Dewasa.

Bagi Kategori Kanak-Kanak, tempat pertama dimenangi oleh Dayang Naira Tiasarah binti Shamsul, diikuti Dayang Nur Azzalea Inara binti Muhd. Alif Supian di tempat kedua, manakala Awang Mohd. Aiman Azfar bin Mohd. Alpis di tempat ketiga.

Dalam Kategori Muda Mudi pula, Dayang Nur Amanina Afiqah binti Md. Azman meraih tempat pertama diikuti Dayang Nur Amaanii Insyirah @ Nurhakimah binti Md. Ridzuan di tempat kedua manakala Awang Muhd. Sharul Shazawan bin Abdullah berada di tempat ketiga.

Manakala Kategori Dewasa pula menyaksikan Dayang Hamizah binti Johari menjuarai tempat pertama, diikuti Awang Mohd. Alpiss bin Haji Rejee di tempat kedua, sementara Dayang Mariani binti Morni berada di tempat ketiga.

Sementara itu Ketua Kampung RPN Kampung Lumut Kawasan 3, Awang Mohamad Rosli bin Haji Jais, selaku Pengerusi Bersama, menjelaskan bahawa permainan Tilu-tilan berasal daripada warisan Puak Dusun.

Menurutnya lagi, pada asalnya permainan berkenaan menggunakan biji kembayau dan dikenali dengan sebutan khusus seperti Tilu, Tilan, Gulimbang dan Bangkong yang dilagukan secara nyanyian.

"Pertandingan ini diperkenalkan semula agar permainan tradisional ini tidak hilang ditelan zaman dan dapat terus dipelihara serta diwarisi oleh generasi akan datang," ujarnya lagi.