Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Sabtu, 15 Ogos. - Usaha memperkukuh budaya ilmu dan tradisi kritikan sastera di Negara Brunei Darussalam terus diperkasa menerusi Program Mentor-Menti Kritikan Sastera 2026 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah.
Sehubungan itu, Majlis Pelantikan Mentor dan Penyerahan Menti bagi program berkenaan telah berlangsung hari ini di Balai Sarmayuda, DBP.
Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. Turut hadir, Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, para pegawai DBP serta Dr. Maslin bin Haji Jukin yang sekali lagi dilantik sebagai mentor bagi Program Mentor-Menti Kritikan Sastera 2026.
Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD), 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan NBD serta sesi bergambar ramai.
Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr. Awang Haji Mohd. Ali bin Haji Radin selaku pengerusi yang antara lain menegaskan bahawa kekuatan sesebuah tamadun tidak hanya diukur melalui jumlah penulis yang dimiliki, malah turut bergantung pada kehadiran pemikir dan pengkritik yang berupaya membaca, mentafsir serta menilai karya sastera secara ilmiah.
Menurut pengerusi, atas kesedaran tersebut, Program Mentor-Menti Kritikan Sastera diwujudkan sebagai satu pelaburan jangka panjang DBP dalam membina budaya ilmu dan tradisi kritikan sastera yang lebih kukuh di negara ini.
Program yang mula dilaksanakan pada tahun 2025 itu telah mencatat pencapaian membanggakan dengan pelaksanaan sebanyak 13 sesi bimbingan, yang berjaya menghasilkan 11 esei kritikan sastera dan kesemuanya diterbitkan dalam Majalah Bahana.
Para menti kohort pertama juga kini sedang menyiapkan kumpulan esei kedua yang dirancang untuk diterbitkan dalam bentuk buku, sekali gus menjadi antara legasi penting program berkenaan.
Bagi pelaksanaan tahun 2026, kesinambungan program diharap dapat memperluas usaha melahirkan pengkritik sastera yang bukan sahaja berkebolehan menghasilkan esei berkualiti, malah mampu meneruskan sumbangan kepada majalah, jurnal dan penerbitan buku, selain aktif membentangkan kertas kerja serta menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan negara.
Melalui bimbingan yang diberikan, para menti akan didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran berkaitan penulisan kritikan sastera, di samping dibimbing untuk memperkukuh ilmu, memperhalus pemikiran dan meningkatkan mutu penulisan.
Pengerusi selanjutnya turut mengingatkan bahawa kejayaan program tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah esei yang dihasilkan sepanjang tempoh pelaksanaannya.
Sebaliknya, tambahnya, kejayaan sebenar adalah apabila program tersebut mampu melahirkan generasi pengkritik yang terus berkarya selepas program berakhir, menyumbang kepada penerbitan ilmiah, membentangkan kajian dalam seminar dan menjadi rujukan dalam perkembangan kesusasteraan NBD pada masa hadapan.
Sehubungan itu, pengerusi seterusnya berharap kohort kedua berupaya mencapai pencapaian lebih tinggi berbanding kohort pertama, termasuk menghasilkan lebih banyak esei, kajian dan buku kritikan, seterusnya membentuk jaringan pengkritik sastera NBD yang kukuh, profesional dan disegani di peringkat serantau mahupun kebangsaan.
Program tersebut diharap dapat membentuk sebuah komuniti pengkritik sastera yang aktif dan berterusan, sekali gus menyumbang kepada pemerkasaan budaya ilmu serta kelangsungan tradisi kritikan sastera di NBD.
Sejurus majlis pelantikan, para menti mengikuti taklimat Program Mentor-Menti Kritikan Sastera 2026 sebelum acara diteruskan dengan penandatanganan perjanjian antara mentor dan para menti sebagai tanda komitmen bersama terhadap pelaksanaan program.