Memperkasa sektor pelancongan dengan penglibatan komuniti tempatan

20 Og 2026 - 8:58am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Jabatan Kemajuan Pelancongan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. – Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), sedang menganjurkan Bengkel Pelancongan Berasaskan Komuniti (Community-Based Tourism - CBT) selama dua hari, bermula hari ini hingga 20 Ogos 2026.

Bengkel yang diadakan di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) berkenaan bertujuan untuk terus memperkukuh dan meningkatkan inisiatif pelancongan berasaskan komuniti di keempat-empat daerah di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Kira-kira 60 peserta yang terdiri daripada ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) yang aktif mengendalikan perusahaan CBT telah menyertai bengkel berkenaan.

Dengan menyelaraskan tawaran tempatan mengikut trend pasaran global semasa, jangkaan kualiti dan piawaian perkhidmatan, inisiatif berkenaan bertujuan untuk menjadikan destinasi pelancongan komuniti lebih berdaya saing, mampan dan menarik bagi pengunjung antarabangsa mahupun domestik.

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu-tetamu kehormat majlis semasa berlangsungnya hari pertama bengkel pada pagi tadi, Setiausaha Tetap, KEPI, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim; dan Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut.

Terdahulu, Awang Mohammad Harris dalam ucapan alu-aluannya antaranya menyatakan bahawa penganjuran pembangunan produk CBT berkenaan merupakan usaha berterusan KEPI menerusi JKP untuk memperkasa sektor pelancongan dengan penglibatan komuniti tempatan yang merupakan teras utama yang menghidupkan dan menjamin kelestarian CBT.

Dalam hal ini jelasnya lagi, usaha dan peranan KHEDN dalam memperkukuh penglibatan serta pembangunan MPM dan MPK amatlah dihargai, selaras dengan pendekatan Whole of Nation.

“Lebih-lebih lagi, penganjuran ini hadir pada masa yang bertepatan dalam kita menuju Tahun Melawat Brunei 2027 (Visit Brunei Year – VBY 2027).

“Ini bukan sahaja merupakan peluang untuk memperkukuh penawaran produk pelancongan negara, malah untuk mengetengahkan, memperkasa dan meletakkan MPM dan MPK sebagai aset yang mampu menjadi tarikan kepada para pelawat,” tambahnya lagi.

Awang Mohammad Harris turut mengongsikan bahawa JKP bersama fasilitator dan wakil komuniti telah menjalankan penilaian tapak di MPM Tanjung Maya, MPM Serasa dan MPK Labi, dengan mengambil kira model kejayaan Koperasi Pelancongan Batu Puteh Berhad (KOPEL) yang diiktiraf sebagai UN Tourism Best Tourism Village 2021 dan merupakan penanda aras yang baik bagi pembangunan CBT negara.

Beliau juga berharap bengkel selama dua hari berkenaan yang disertai 60 peserta daripada komuniti MPM dan MPK serta ahli akademik tersebut akan dapat merumuskan cadangan strategik untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti dan nilai tambah produk, serta menyokong pembangunan CBT yang lebih berdaya maju.

“CBT mempunyai kedudukan yang strategik dalam usaha ini dan telah dikenal pasti di bawah Brunei Darussalam Tourism Industry Roadmap (2023–2035) sebagai salah satu tawaran produk teras yang memanfaatkan kekayaan budaya dan alam semula jadi negara. Dengan momentum VBY, ini adalah peluang yang baik untuk memperlihatkan potensi ini dengan lebih tersusun dan berimpak kepada pasaran antarabangsa,” ujarnya lagi.

Melalui penganjuran bengkel berkenaan, pakar pemudah cara bersama dari Sabah telah dilantik oleh JKP untuk berkongsi kepakaran secara praktikal serta amalan terbaik serantau. Pakar-pakar dari Sabah berkenaan telah menerima pengiktirafan ‘UN Tourism Best Tourism Village’ pada 2021 atas usaha mereka dalam pengendalian operasi CBT di Kinabatangan, Sabah.

Dua hari sebelum bermulanya bengkel secara rasmi, JKP dan para fasilitator bersama menjalankan penilaian terperinci di tapak lokasi CBT tempatan untuk menilai secara langsung tarikan, kemudahan dan pakej kebudayaan yang sedia ada. Audit tapak berkenaan memberikan pandangan pertama yang berharga dan cadangan praktikal, yang dimasukkan secara langsung ke dalam sesi bengkel untuk membantu peserta membangunkan strategi pertumbuhan yang disasarkan.

Antara yang turut hadir, Pengerusi KOPEL Bhd., Sabah, Abd. Sanih Nasri bersama rakan-rakan sekerja dari KOPEL Bhd., Sabah; pegawai-pegawai daerah dan pemangku pegawai daerah; penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung; Ahli-ahli MPM dan MPK; para ahli akademik universiti; dan juga pegawai-pegawai kanan JPK.

Berdasarkan aktiviti bengkel, maklum balas peserta dan aplikasi perancangan tindakan strategik yang ditunjukkan, bengkel berkenaan telah mencapai tiga hasil utama, iaitu memperkukuh pengetahuan dan kemahiran praktikal lebih daripada 60 peserta dalam pengurusan perusahaan CBT asas serta piawaian hospitaliti; mengenal pasti laluan bimbingan pasca-bengkel yang membolehkan peserta terus mendapatkan nasihat daripada pakar dan JKP; serta membangunkan inventori produk yang mengelaskan tawaran CBT sebagai ‘market-ready’ atau ‘requiring further development’.

Inventori berkenaan akan membantu dalam memandu pemberian bantuan susulan yang disasarkan, peningkatan produk dan inisiatif kesediaan pasaran pada masa hadapan. JKP kekal komited untuk menyokong perusahaan mukim dan kampung tempatan sebagai penyumbang utama kepada portfolio pelancongan mampan NBD.