Membina kemahiran kepimpinan dalam kalangan Pengakap Muda

13 Og 2026 - 5:20am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam

 BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Ogos. - Bahagian Pengakap Muda, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Penutupan Kursus Kepimpinan Pengakap Muda yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, hari ini.

Majlis tersebut dihadiri oleh tetamu kehormat, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Brunei Darussalam, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin. Turut hadir, Ketua Bahagian Uniform dan Perkhidmatan, Dayang Hajah Rosediana binti Haji Hidop serta para pemimpin dan peserta kursus.

Kursus Kepimpinan Pengakap Muda ini merupakan perkhemahan selama tiga hari dua malam yang disertai oleh seramai 45 peserta terdiri daripada Pengakap Muda dari sembilan buah sekolah menengah serta pasukan pengakap terbuka.

Kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan serta membina kemahiran kepimpinan dalam kalangan Pengakap Muda, di samping memupuk nilai disiplin, kerjasama, tanggungjawab, keyakinan diri dan semangat berkhidmat sebagai seorang pemimpin pengakap.

Majlis dimulakan dengan laporan kursus yang disampaikan oleh Ketua Kursus, diikuti dengan ucapan wakil peserta kursus yang menyampaikan penghargaan dan pengalaman sepanjang mengikuti kursus berkenaan.

Beliau menekankan kepentingan melahirkan generasi Pengakap Muda yang mempunyai jati diri, berdisiplin dan mampu memimpin dengan penuh tanggungjawab.

Dalam ucapan tersebut, turut ditekankan bahawa kepimpinan bukan sekadar mengenai kedudukan atau jumlah pengikut, tetapi lebih kepada keupayaan seseorang pemimpin untuk membimbing, memberi inspirasi dan melahirkan pemimpin-pemimpin baharu.

Ucapan penutupan disempurnakan oleh sesi penyampaian Sijil Penyertaan kepada para peserta, yang disampaikan oleh tetamu kehormat, diikuti dengan penyampaian Sijil Penghargaan oleh Ketua Bahagian Uniform dan Perkhidmatan kepada pihak-pihak yang telah memberikan sumbangan dan kerjasama dalam menjayakan kursus tersebut.

Majlis diakhiri dengan Istiadat Bendera, sebagai simbolik semangat, disiplin dan kesetiaan dalam pergerakan Pengakap.

Diharapkan kursus ini akan menjadi titik permulaan dalam melahirkan generasi pemimpin Pengakap Muda yang berwibawa, berakhlak mulia, berilmu, berdisiplin serta sentiasa bersedia untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Melalui program seumpama ini, PPNBD akan terus memberikan ruang dan peluang kepada golongan Pengakap Muda untuk mengembangkan potensi diri serta membina kemahiran kepimpinan yang dapat menyumbang kepada pembangunan pergerakan Pengakap dan masyarakat pada masa akan datang.