Memastikan setiap perbelanjaan beri ‘value for money’, pulangan pelaburan

12 Og 2026 - 7:21am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin sangat menjunjung kasih atas kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pelantikan Menteri-menteri Penyelaras, dan juga atas titah baginda yang menekankan kepentingan penyelarasan sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuhkan tadbir urus dan mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan negara.

Penyelarasan ini ujar Yang Berhormat, diharap dapat menjadikan budaya kerja sebagai satu pasukan yang kuat dan mantap. Bagi isu merentas kementerian (cross-ministerial issues), budaya ‘passing the responsibility’ perlu dielakkan, manakala birokrasi yang diperlukan bagi memastikan akauntabiliti jangan sampai menjadi ‘red tape’ yang melambatkan kemajuan. Kerana rakyat hanya mengharapkan penyelesaian yang cepat, jelas dan berkesan.

Yang Berhormat dalam ucapannya turut menghargai penjelasan dan komitmen yang telah diberikan oleh Menteri-menteri Penyelaras sepanjang persidangan ini.

"Dalam aspek pertumbuhan ekonomi (economic growth), kaola menghargai penjelasan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri mengenai pelbagai ‘industry road maps dan sectoral blue prints’ yang telah disediakan untuk dilaksanakan.

"Kaola juga mengambil maklum akan kewujudan beberapa kumpulan penyelaras di bawah ‘road map’ dan rangka kerja sedia ada, serta menyokong cadangan untuk memperkukuhkan dan memformalkan peranannya bagi menangani isu rentas sektor. Kaola berharap penyelarasan ini dapat mengelakkan ‘pertindihan’ tugas dan tanggungjawab antara pihak-pihak berkenaan, supaya tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan lancar dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang dihasratkan bersama,” jelas Yang Berhormat dalam Usul Penangguhan pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Dalam hubungan ini kata Yang Berhormat, produktiviti ekonomi perlu terus diperkukuhkan dengan memastikan setiap perbelanjaan memberikan ‘value for money’ dan pulangan pelaburan (Return on Investment-ROI) yang jelas serta manfaatnya dirasai oleh semua rakyat.

Yang Berhormat juga berharap, kelebihan-kelebihan yang kita miliki seperti pensijilan halal serta hasil penyelidikan dan inovasi institusi pengajian tinggi kitani dapat dimanfaatkan dan di ‘leverage’ secara lebih strategik kepada produk dan perkhidmatan bernilai tambah. Dalam dunia yang semakin kompetitif, peluang tidak menunggu; jika kita lambat bertindak, tidak mustahil peluang tersebut akan direbut oleh pihak lain.

Bagi keterjaminan makanan (food security), Yang Berhormat turut menghargai penjelasan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, mengenai pendekatan bersepadu dan yang lebih proaktif melalui pemantauan harga dan bekalan, kepelbagaian sumber import serta peningkatan kapasiti pengeluaran tempatan merangkumi keseluruhan rantaian nilai makanan.

Yang Berhormat seterusnya juga mengambil maklum bahawa struktur penyelarasan keselamatan negara akan dinilai semula keberkesanannya selepas satu tahun pelaksanaan. Ini penting supaya kesiapsiagaan negara bukan hanya bersifat reaktif, tetapi sentiasa diperbaiki berdasarkan data, risiko dan perubahan keadaan semasa. Melalui pendekatan-pendekatan ini, ia diharap akan menjadikan negara lebih tangkas, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Menyentuh mengenai Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 yang telah dikemaskinikan dan penjelasan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat menyambut baik kemajuan yang akan dinilai berasaskan data melalui Indeks Wawasan Brunei 2035 setiap tahun, sebagai satu langkah penting untuk memberikan ukuran yang lebih jelas terhadap pencapaian negara. Apa yang lebih penting selepas ini ialah memastikan kerangka tersebut benar-benar digunakan sebagaimana yang dihasratkan. Penilaian secara berkala (periodic review) akan membolehkan kita mengukur sejauh mana hasil nasional telah dicapai.

"Kaola berharap kita akan dapat melihat kemajuan dan hasilnya dalam masa terdekat, sambil memberi ruang kepada semua pihak untuk sama-sama menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035," kata Yang Berhormat.

Persidangan ini tambah Yang Berhormat, bukanlah penamat kepada perbincangan, tetapi merupakan permulaan kepada tindakan dan pelaksanaan. InsyaaAllah, dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, segala cabaran dapat kita tangani untuk sama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035.