Memastikan Kod Etika, Tatakelakuan diterima pakai bagi memenuhi aspirasi majlis

9 Og 2026 - 7:30am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin semasa membincangkan cadangan pindaan ‘Memutuskan bahawa Draf Kod Etika dan Tatakelakuan akan dirujuk kepada satu jawatankuasa untuk meneliti, memperhalusi dan mengemukakan Kod Etika dan Tatakelakuan kepada majlis dalam tempoh enam bulan’ pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, memohon untuk memberikan beberapa pandangan dan penjelasan.

Yang Berhormat sangat bersetuju pada pembentangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan yang menyatakan ada sesetengah pendapat yang dikemukakan tidak berasas sama sekali dan juga sangat mengelirukan.

Pertama terang Yang Berhormat, kod ini telah diterima oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di sini dalam tempoh yang berpatutan sepertimana usul-usul sebelum ini dan bukan tempoh yang agak singkat untuk dibangkitkan.

“Kedua, apabila kerahsiaan ini dipersoalkan terutama setelah tempoh perkhidmatan. Kaola terkilan dan ‘infer’, membuat kesimpulan bahawa ‘are you gonna reveal the government secret after your terms end?”, itulah dalam persoalannya.

“Kaola juga terkejut ada juga Ahli-ahli Yang Berhormat tidak dapat membezakan, mana satu yang rahsia dan mana satu yang tidak, dan lagi beranggapan proses pindaan, ‘amendment’ selepas sesuatu kod diterima adalah lebih rumit dan mengambil masa sedangkan persidangan ada diadakan selama dua kali setahun.

“Perlu diingat juga, kod ini bukanlah dari segi ‘perspective corporate’ tetapi kerajaan itu MMN,” jelas Yang Berhormat lagi.

Perkara ini juga tambah Yang Berhormat, dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (JPN) dan Biro Mencegah Rasuah sepertimana JPN adalah jabatan yang paling tinggi di negara ini mengenai dengan penggubalan undang-undang.

Terakhir jelas Yang Berhormat lagi, dokumen ini bukanlah satu dokumen yang ‘syumul’ atau ‘kaffah’ yang mana yang sempurna hanya adalah Al-Quran Al-Karim. Kod Etika ini bolehlah disemak sepertimana yang telah diperuntukkan di dalam kod ini di hujung-hujung yang mana, dari masa ke semasa kita boleh mengubahnya.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, demi semangat bermesyuarah dan keharmonian, Yang Berhormat dengan penuh hormat mencadangkan supaya usul ini dipinda agar draf Kod Etika dan Tatakelakuan tersebut boleh dirujukkan kepada jawatankuasa untuk diperhalusi dan diperkemas sebelum dikemukakan semula kepada majlis bagi pertimbangan dan keputusan.

Yang Berhormat juga berharap Ahli-ahli Yang Berhormat akan memberikan sokongan kepada pindaan ini demi memastikan bahawa Kod Etika dan Tatakelakuan yang bakal diterima pakai nanti benar-benar memenuhi aspirasi majlis dan menjadi satu dokumen yang kukuh, adil, serta mampu menjadi panduan kepada Ahli MMN masa hadapan.

Dalam pada itu, cadangan pindaan tersebut disokong oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu.

Dan seterusnya Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menurut kuasa yang ada padanya seperti yang tercatit dalam Peraturan Mesyuarat 20 (8), dengan ini memutuskan untuk membenarkan bagi pindaan kepada usul ini diterima.