Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 Ogos. - Lima penuntut cemerlang mencatat satu lagi lembaran penting dalam perjalanan pendidikan mereka apabila dianugerahkan Biasiswa Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PT ABDB) dan Biasiswa ABDB bagi Tahun 2026.
Pada Majlis Penandatanganan Perjanjian dan Penganugerahan Biasiswa PT ABDB dan Biasiswa ABDB bagi Tahun 2026 yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini, Pemangku Pengarah, Jabatanarah Pentadbiran dan Tenaga Manusia, Awang Haji Kamarul Azam bin Haji Mohamad juga selaku Pengerusi Badan Penilaian Biasiswa 2026 dalam ucapannya menekankan bahawa penganugerahan biasiswa berkenaan bukan sekadar peluang melanjutkan pengajian, malah merupakan satu pelaburan bagi masa depan pertahanan negara.
Menurut Awang Haji Kamarul Azam, daripada 36 pemohon, hanya lima orang berjaya mara ke peringkat penilaian penuh yang merangkumi pencapaian akademik, kecergasan, aptitud, kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan temu duga.
“Di sebalik tandatangan tersebut terkandung suatu amanah yang jauh lebih besar iaitu amanah untuk menimba ilmu, membina kepakaran dan akhirnya kembali menyumbang kepada Kementerian Pertahanan dan Negara Brunei Darussalam (NBD),” jelasnya.
Para penerima akan melanjutkan pengajian dalam Bidang Mechanical Engineering, Law dan Syariah di institusi pengajian tinggi terkemuka di China, United Kingdom dan Mesir.
Awang Haji Kamarul Azam turut menjelaskan bahawa kepelbagaian bidang tersebut penting bagi memenuhi keperluan organisasi pertahanan yang memerlukan gabungan kepakaran teknikal, profesional, strategik dan keagamaan.
Lebih istimewa, peluang pengajian dalam Bidang Syariah di Universiti Al-Azhar, Mesir dibukakan semula pada tahun ini setelah beberapa tahun tidak ditawarkan, sekali gus memperluaskan pembangunan kepakaran dalam bidang keagamaan dan pembangunan kerohanian dalam organisasi pertahanan.
Dalam pada itu, beberapa pembaharuan turut diperkenalkan dalam proses pemilihan tahun ini, antaranya penerangan dan promosi yang dilaksanakan lebih awal kepada sekolah-sekolah, pengemaskinian syarat kelayakan akademik, penambahbaikan kaedah penilaian serta penglibatan pakar bidang dalam panel temu duga.
“Kesemua pembaharuan ini mempunyai satu matlamat yang jelas - bukan sekadar mencari pelajar yang mendapat keputusan akademik terbaik, tetapi mengenal pasti individu yang mempunyai potensi tinggi untuk menjadi aset kepada organisasi pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau seterusnya mengingatkan para penerima supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba ilmu di luar negara dengan membina kepakaran dan memperluas perspektif, namun dalam masa yang sama kekal berpegang teguh kepada jati diri sebagai anak Brunei, nilai Melayu Islam Beraja, disiplin dan integriti.
Pelita Brunei sempat menemu bual beberapa penerima iaitu bagi penerima Biasiswa PT ABDB, Awang Nathan Peterson Chen Tse Wei, kejayaan tersebut disifatkan sebagai satu penghormatan besar yang hadir bersama tanggungjawab.
“Saya melahirkan penghargaan, ucapan terima kasih menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan serta juga Kementerian Pertahanan kerana memberikan saya peluang yang begitu baik untuk dianugerahkan Biasiswa PT ABDB yang berprestij.
“Selepas mendapat biasiswa ini, saya merasakan kepercayaan dan tanggungjawab yang besar telah diletakkan ke atas saya untuk menjadi seseorang yang mampu menyumbang bukan sahaja kepada Kementerian Pertahanan, tetapi juga NBD secara keseluruhannya,” katanya.
Awang Nathan Peterson Chen Tse Wei akan melanjutkan pengajian di Universiti Tsinghua, China, dalam Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, khusus dalam Kejuruteraan Mekanikal dengan pengkhususan dalam AI Robotik, selama empat tahun.
Katanya lagi, keputusan memohon biasiswa berkenaan dibuat atas kehendak sendiri, didorong oleh matlamat untuk menerajui kemajuan infrastruktur teknologi di NBD.
“Saya mahu menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan mewujudkan persekitaran di mana rakyat akan berasa selamat melalui kemajuan keselamatan negara,” ujarnya.
Selepas menamatkan pengajian, Awang Nathan berharap dapat menyumbang dalam sektor Penyelidikan dan Pembangunan Kementerian Pertahanan, khususnya dalam pembangunan teknologi yang dapat dimanfaatkan oleh ABDB dan Kementerian Pertahanan.
Sementara itu, penerima biasiswa, Dayang Syifa Dania binti Abu Syahmi, menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai satu pencapaian yang amat bermakna selepas melalui cabaran sepanjang proses pemilihan.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas anugerah ini. Saya sangat berbangga dengan usaha yang saya curahkan dalam mengatasi cabaran-cabaran proses pemilihan.
“Bagi saya, biasiswa ini bukan sahaja peluang untuk melanjutkan pelajaran di institusi-institusi yang terkenal di peringkat dunia, tetapi juga mencerminkan usaha gigih, daya tahan dan ciri-ciri kepimpinan saya,” katanya.
Dayang Syifa Dania akan melanjutkan pengajian dalam Bidang Bachelor of Engineering (Mechanical Engineering) di University of Glasgow, United Kingdom, selama empat tahun. Menurutnya, dorongan daripada ibu bapa menjadi antara faktor utama yang menyuntik keyakinan untuk memohon biasiswa berkenaan. “Mereka menggalakkan saya untuk berusaha sebaik mungkin dan meletakkan sasaran yang tinggi,” katanya.
Dayang Syifa Dania selanjutnya berharap peluang tersebut dapat dimanfaatkan untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh serta membentuk dirinya sebagai pemimpin yang berkesan, di samping membawa penyelesaian inovatif dan membantu Kementerian Pertahanan mencapai matlamatnya.
“Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada belia NBD untuk meneruskan minat mereka dan tidak berputus asa,” tambahnya.
Penganugerahan biasiswa tersebut sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai kepimpinan, daya tahan, integriti dan kesediaan untuk berbakti kepada negara.