Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 Ogos. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi Industries) baru-baru ini meraikan kejayaan 14 pelajar daripada Kumpulan 11 Program Biasiswa Bersama Universiti Brunei Darussalam (UBD) - Zhejiang University (ZJU) sempena Majlis Konvokesyen Universiti Brunei Darussalam (UBD) Ke-38, yang menandakan tamatnya perjalanan akademik mereka selama empat tahun.
Program Biasiswa Bersama UBD-ZJU ditubuhkan hasil kerjasama antara Hengyi Industries, UBD dan ZJU, bagi melahirkan tenaga profesional Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berkemahiran tinggi dalam bidang petrokimia dan kejuruteraan proses.
Sepanjang program empat tahun berkenaan, para pelajar mengikuti pengajian akademik di UBD, melanjutkan pengajian di luar negara yang dibiayai sepenuhnya di ZJU, Republik Rakyat China, serta menjalani latihan industri di Kompleks Petrokimia Hengyi Industries di Pulau Muara Besar.
Program berkenaan memberikan para pelajar dengan pengetahuan akademik dan pengalaman praktikal, sekali gus mempersiapkan mereka dengan lebih baik untuk memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Setelah berjaya menamatkan program berkenaan, para graduan ditawarkan peluang pekerjaan bersama Hengyi Industries.
Tahun ini turut menyaksikan pencapaian akademik cemerlang daripada beberapa penerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama. Tiga penerima biasiswa daripada Kumpulan 11 berjaya menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama, manakala dua penerima biasiswa daripada Kumpulan 11 dan Kumpulan 12 telah dianugerahkan UBD Book Prize.
Sebagai pengiktirafan atas pencapaian berkenaan, Hengyi Industries menyediakan tajaan berjumlah BND2,500 kepada penerima berikut atas kecemerlangan akademik mereka, iaitu Kepujian Kelas Pertama diberikan kepada Goh Fui Mien (Kumpulan 11), Teo Kai Lee (Kumpulan 11), dan Chong Zi Wei (Kumpulan 11).
Manakala UBD Book Prize pula diberikan kepada Teo Kai Lee (Kumpulan 11), dan Kelly Ang Wei Xuen (Kumpulan 12).
Program Biasiswa Bersama berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif ‘Future-Ready’ Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hengyi Industries, yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan serta melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan dalam industri tenaga hiliran yang semakin berkembang di NBD.
Sehingga kini, seramai 187 pelajar telah menerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Bersama berkenaan.
Melalui pelaburan dalam bidang pendidikan dan pembangunan bakat tempatan, Hengyi Industries kekal komited untuk memperkukuh industri petrokimia hiliran NBD, menyokong pembangunan mampan jangka panjang negara serta menyumbang kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035.