Siaran Akhbar dan Foto : Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 22 Ogos. - Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan kerjasama ahli jawatankuasa takmir masjid dan Muslimah masjid mengadakan Majlis Dikir Maulud sempena memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bertempat di masjid berkenaan malam tadi.
Majlis Dikir Maulud diserikan lagi dengan kehadiran rombongan jemputan dari Muslimah Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar 'Ali Saifuddien (SOAS), Kampung Katimahar.
Hadir selaku ketua rombongan, Guru Pembimbing Muslimah Masjid Paduka Seri Begawan SOAS, Kampung Katimahar, Dayang Hajah Siti Ratnah binti Haji Abdullah.
Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran ahli jawaatankuasa takmir majid, Muslimah masjid dan orang awam bagi sama-sama mengimarahkan masjid. Dikir Maulud berkenaan diadakan selama 12 malam berturut-turut sehingga 24 Ogos 2026.
Bulan Rabiulawal adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia, bulan yang penuh keberkatan kerana di dalamnya terdapat Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Di samping mengimarah dan menghidupkan masjid pada malam-malam sebelum Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, usaha berkenaan diharapkan akan dapat memupuk dan mengeratkan lagi ukhuwah Islamiyyah dalam kalangan masyarakat di semua peringkat umur dan menanamkan nilai keislaman dalam kehidupan seharian.
Diharap ia juga akan dapat melatih masyarakat untuk sentiasa mengingati tarikh Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.