Majlis Bercorak Keagamaan sempena Maulidur Rasul diteruskan

19 Og 2026 - 8:20am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 18 Ogos. - Majlis Bercorak Keagamaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah bagi malam keenam diteruskan malam ini di Istana Nurul Iman, dengan pengisian keagamaan dan persembahan dikir daripada pelbagai agensi kerajaan serta persatuan.

Majlis berkenaan dihadiri pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan Jabatan Pengajian Islam (JPI), Jemaah Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lambak Kiri, Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berakas 'B' serta Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT), Muslimah dan Kumpulan Belia Masjid (KBM) Masjid Pehin Datu Imam (PDI) Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pemangku Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Majlis kemudiannya diserikan dengan tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Tiga Kunci Keberkatan' yang disampaikan oleh Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid.

Pengisian majlis diteruskan dengan persembahan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyarakal daripada pegawai dan kakitangan KHEDN.

Dikir Khairuman pula dipersembahkan oleh pegawai serta kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat, serta Jabatan Penjara juga Ahli-ahli MPK Berakas 'B', manakala Dikir Bisyahrin dipersembahkan oleh AJKT dan KBM Masjid PDI Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer.

Sementara itu, Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat dipersembahkan oleh pegawai JPI, Bahagian Sekolah Ugama Brunei lll.

Majlis kemudiannya disudahi dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebagai tanda kesyukuran serta memohon keberkatan untuk negara dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dalam pada itu, majlis bercorak keagamaan yang sama turut diadakan bagi jemaah wanita di Surau Kecil, Istana Nurul Iman.

Hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Perundangan), KHEDN, Dayang Hajah Nor Hamidah binti Haji Hamidon.

Tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Tiga Kunci Keberkatan' disampaikan oleh Dayang Hajah Aqilah Mukarramah binti Haji Salleh. Majlis turut disemarakkan dengan persembahan Dikir Assalamualaika dan Dikir Asyarakal daripada pegawai dan kakitangan KHEDN.

Dikir Khairuman dipersembahkan oleh Jemaah Masjid STKRJ Kampung Lambak Kiri, manakala Dikir Bisyahrin dipersembahkan oleh Muslimah Masjid dan KBM Masjid PDI Haji Abdul Mokti, Kampung Burong Pingai Ayer.

Dikir Al-Hamdu dan Dikir Badat pula dipersembahkan oleh pegawai JPI, Bahagian Sekolah Ugama Brunei lll.