Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. – Pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini mendengarkan beberapa ucapan penangguhan dari Ahli-ahli MMN.
Antara yang memberikan ucapan penangguhan ialah Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, yang menggariskan bahawa pelantikan tiga Menteri Penyelaras merupakan langkah strategik bagi memperkukuh penyelarasan rentas kementerian dalam pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.
Dalam masa yang sama Yang Berhormat menegaskan bahawa komitmen dan perancangan Menteri-menteri Penyelaras perlu diterjemahkan kepada tindakan dan pencapaian yang nyata, khususnya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menangani pengangguran dan menarik pelaburan asing sebagai pemacu Wawasan Brunei 2035, di samping memastikan kerjasama semua pihak bagi menjamin keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat juga menyentuh mengenai kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat ketiga-tiga Menteri Penyelaras berkenaan.
“Dalam kenyataan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, tujuh bidang keselamatan yang telah dikenal pasti menjadi fokus utama bagi keselamatan negara, iaitu jenayah dan ketenteraman awam, sekuriti dan integriti sempadan, keselamatan siber, keselamatan ekonomi, keterjaminan makanan, keselamatan dan keterjaminan tenaga dan keselamatan sosial,” ujar Yang Berhormat lagi.
Tujuh bidang keselamatan ini ujar Yang Berhormat adalah berkait rapat dan merupakan ‘precondition’ atau asas bagi negara melaksanakan perancangannya.
Yang Berhormat juga mengambil maklum perbincangan awal yang telah diadakan dengan Yang Berhormat Menteri-menteri Penyelaras yang lain bagi menjalin kerjasama dalam pelaksanaan penyelarasan.
Ujar Yang Berhormat lagi, dewan juga telah mendengar kenyataan dari Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri yang menyentuh mengenai keperluan mekanisme penyelarasan yang kukuh untuk membantu negara mencapai Wawasan Brunei 2035.
“Menurut Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri untuk memastikan inisiatif dan usaha berjalan seperti yang dirancang, beberapa kumpulan penyelaras di bawah ‘roadmap’ dan rangka kerja yang sedia ada telah pun diwujudkan bagi menangani isu ‘cross cutting’,” kata Yang Berhormat.
Seterusnya, Yang Berhormat merujuk kepada kenyataan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang menyokong sepenuhnya usul penyelarasan ini.
Yang Berhormat menjelaskan bahawa Yang Berhormat Menteri telah menggariskan lima hala tuju utama yang menjadi fokus, iaitu memperkukuh pembangunan tenaga manusia; memperkukuh jaringan keselamatan sosial; hala tuju ialah membangun bakat masa depan dengan keupayaan berfikir, berinovasi dan mencipta nilai sebagai persediaan masa hadapan yang dipacu dengan teknologi, inovasi dan Kecerdasan Buatan; memperkukuhkan peranan komuniti dan pemimpin akar umbi; dan memperkukuh tadbir urus dasar.
Kenyataan Yang Berhormat Menteri-menteri Penyelaras itu ujar Yang Berhormat adalah ibarat ‘what-to-do list’ dan merupakan pengakuan serta kesediaan Yang Berhormat Menteri-menteri Penyelaras memastikan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 bergerak seiring merentas kementerian agar tidak ada ‘pertindihan’ dasar yang bertentangan atau tindakan yang tidak saling membantu.
Yang Berhormat seterusnya berkata kenyataan-kenyataan Menteri-menteri Penyelaras tersebut adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Persidangan Majlis Menteri-menteri Kabinet Ke-92 yang mahu melihat setiap Key Performance Indicator (KPI) dan sasaran yang telah diperkenankan disusuli dengan tindakan yang jelas, terarah dan berfokus.
Menyentuh mengenai Wawasan Brunei 2035 yang telah pun dibincangkan di beberapa permesyuaratan yang lalu, Yang Berhormat berkata adalah menjadi harapan semua pihak bahawa apa yang telah mereka bincangkan, komitmen dan perancangan yang telah dan yang akan dilaksanakan menjadi kenyataan terutama dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menangani isu pengangguran dan usaha menarik pelabur asing.
“Ini adalah berupa ‘drivers’ kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035. Kejayaan kita dalam perkara-perkara ini setentunya akan membawa impak besar kepada pembangunan negara dan memberi keyakinan bahawa semua yang telah direncanakan dan akan dilaksanakan akhirnya berjaya dicapai terutama yang berkait dengan isu pengangguran dan peluang pekerjaan yang akan menjamin kesejahteraan rakyat,” ujar Yang Berhormat lagi.