Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Perubatan Jerudong Park
JERUDONG, Jumaat, 14 Ogos. – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) telah menerima kunjungan delegasi dari Royal Hospital di bawah Kementerian Kesihatan Kesultanan Oman, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan JPMC untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi penjagaan kesihatan antarabangsa dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, pertukaran ilmu serta kemajuan perkhidmatan penjagaan kesihatan, baru-baru ini.
Delegasi tersebut telah dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Perubatan JPMC, Dr. Awang Haji Mohd. Syafiq bin Abdullah bersama ketua-ketua jabatan dari Pusat Kanser Brunei, yang turut menyertai sesi pertemuan dan perbincangan bersama delegasi berkenaan.
Delegasi yang berkunjung terdiri daripada wakil-wakil utama sektor penjagaan kesihatan, termasuk Pengarah Pusat Onkologi Kebangsaan, Dr. Suad Al Kharusi; Dr. Thuraya Al Hajry dari Pusat Onkologi Kebangsaan serta Salha Al Ismaili dari Jabatan Kerjasama Antarabangsa.
Kunjungan tersebut memberi peluang kepada JPMC dan delegasi berkenaan untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan sektor penjagaan kesihatan, dengan perbincangan khusus memberi tumpuan kepada perkhidmatan onkologi, amalan klinikal serta perkembangan piawaian penjagaan kanser khusus.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform untuk membincangkan bidang-bidang kerjasama yang berpotensi pada masa akan datang serta langkah seterusnya dalam memperkukuh pertukaran ilmu dan meneroka peluang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan antara institusi penjagaan kesihatan.
Melalui pertemuan seumpama ini, JPMC terus membina hubungan dengan institusi dan pengamal penjagaan kesihatan antarabangsa, dengan mengiktiraf kepentingan perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik dalam menyokong usaha penambahbaikan berterusan dalam penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.
JPMC kekal komited untuk meneroka peluang kerjasama antarabangsa yang dapat menyumbang kepada pembangunan keupayaan penjagaan kesihatan, pengetahuan klinikal serta pendekatan inovatif dalam penjagaan pesakit di Negara Brunei Darussalam.
Melalui hubungan yang diperkukuhkan bersama rakan-rakan penjagaan kesihatan di peringkat serantau dan antarabangsa, JPMC berhasrat untuk menyokong pembelajaran berterusan serta menyumbang kepada kemajuan berterusan sektor penjagaan kesihatan negara.