Oleh : Norliah Md. Zain
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Apabila kita membahaskan Kod Etika, kita sebenarnya sedang mengukuhkan satu kerangka yang selaras dengan nilai kepimpinan, iaitu memastikan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bertindak dengan penuh integriti, bebas dari konflik kepentingan dan sentiasa memelihara kepercayaan rakyat melalui satu pendekatan permesyuaratan terbuka yang telus.
Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam menyokong konsep dan kerangka kod yang telah disediakan meskipun pada hemat Yang Berhormat, masih ada ruang untuk diperkemas dan diperkukuh lagi hasil penelitian bersama Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain mengenai draf tersebut.
Yang Berhormat berkata demikian ketika membincangkan dan menyokong Penggubalan Dokumen Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli MMN pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat juga menyambut baik dan menyokong penuh Usul Pindaan yang baharu sahaja dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin, untuk merujuk draf Kod Etika dan Tatakelakuan ini kepada satu jawatankuasa khas yang akan meneliti, memperhalus dan mengemukakan kembali kod tersebut kepada MMN dalam tempoh enam bulan.
Yang Berhormat juga yakin pandangan dan cadangan ahli-ahli sebelum ini untuk memperkemaskan lagi kod ini pada dasarnya bukanlah tanda penolakan tetapi tanda penerimaan dan kesungguhan ahli untuk memastikan majlis ini mempunyai kod yang benar-benar kukuh dan jelas serta diyakini berfungsi sebagai pelindung integriti institusi. Ini membuktikan bahawa institusi ini telus dan menerima pandangan untuk memperhalus setiap perbahasan dengan teliti agar pelaksanaan kod ini nanti tidak menimbulkan kekeliruan atau ketidakadilan di masa hadapan.
Ini juga kata Yang Berhormat lagi, membuktikan komitmen majlis untuk menjunjung tinggi hasrat murni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar MMN sentiasa berada pada landasan urus tadbir yang diyakini oleh rakyat.
Yang Berhormat seterusnya berkata, nilai itu mesti difahami, keadilan itu mesti dilalui dan kepercayaan rakyat mesti dipelihara. Itulah amanah yang akan kita pikul bersama, muafakat membawa berkat.