KHEU terus semarakkan Sambutan Maulud Nabi

19 Og 2026 - 7:49am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

 

TUTONG, Selasa, 18 Ogos. - Bagi memperingati pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan syiar Islam, sekali gus menyemai rasa kasih dan cinta terhadap Baginda, Rombongan Dikir Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) meneruskan lagi Majlis Ihya Maulidur Rasul yang diadakan malam tadi di Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong, bersempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Majlis tersebut turut menjadi salah satu usaha untuk memakmurkan masjid, di samping menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara pegawai dan kakitangan KHEU dengan jemaah masjid serta penduduk kampung di sekitarnya.

Mengetuai rombongan ialah Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad. 

Turut hadir, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KHEU, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong serta jemaah masjid.

Majlis diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong, Awang Muhammad Jalaluddin bin Junaidi sebelum diteruskan dengan Dikir Maulud.

Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Danau, Daerah Tutong, Awang Abdul Hadi bin Abd. Rahman.

Majlis Dikir Maulud di masjid-masjid di seluruh negara diadakan serentak mulai 1 Rabiulawal 1448H bersamaan 13 Ogos 2026M, sejurus selepas menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah dan berlangsung selama 12 malam berturut-turut sehingga 12 Rabiulawal 1448H bersamaan 24 Ogos 2026M.

Antara kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah memperoleh rahmat dan pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wata’ala, mendapat kebaikan serta dihapuskan dosa.

Amalan memperbanyakkan selawat juga menjadi salah satu sebab doa seseorang diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala, selain menjadi amalan yang dapat melepaskan diri daripada keresahan dan kesusahan pada Hari Kiamat. Rombongan Dikir Maulud KHEU seterusnya akan berkunjung ke Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait pada 20 Ogos 2026.