Berita dan Foto : Ihsan Nuqra Quranic Kiulap
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Nuqra Quranic Kiulap menganjurkan Nuqra Sunnah FitVenture, sebuah program cuti sekolah bersempena Sambutan Maulidur Rasul yang dikhaskan bagi kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.
Program berkenaan menggabungkan pembelajaran, aktiviti fizikal dan permainan interaktif bagi memperkenalkan sunnah serta akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam suasana yang menyeronokkan dan sesuai dengan perkembangan kanak-kanak.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk sesi penceritaan kisah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam mengenali sunnah Rasulullah, ‘Do It Yourself’ (DIY) Tasbih dan Adab Challenge.
Melalui pelbagai aktiviti tersebut, para peserta berpeluang untuk belajar sambil bermain, bekerjasama dalam kumpulan, membina keyakinan diri serta memahami cara mengamalkan sunnah dan akhlak mulia dalam kehidupan seharian.
Penganjuran Nuqra Sunnah FitVenture diharap dapat memupuk kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan sunnah Baginda sejak usia muda, di samping membantu membentuk generasi yang berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.