Kementerian Pendidikan semarak Sambutan Maulidur Rasul

19 Og 2026 - 8:15am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

KAMPUNG LAMBAK KIRI, Selasa, 18 Ogos. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan- Perkhidmatan; Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan serta Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) mengadakan Majlis Dikir sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bertempat di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ), Kampung Lambak Kiri, lewat petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis tersebut ialah  Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Majlis didahului dengan penyerahan sumbangan wakaf dari pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis kepada  Imam Tingkat III, Masjid STKRJ Kampung Lambak Kiri,  Awang Muhammad Wafiuddin bin Muhammad Wajeeh, diikuti dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.

Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat majlis sebagai permulaan bacaan Dikir Syarafil Anam. Selepas menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan Doa Penutup Majlis Dikir yang diketuai oleh Imam Masjid STKRJ Kampung Lambak Kiri.

Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan untuk memeriahkan lagi suasana Sambutan Maulidur Rasul dengan berselawat dan memuji ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi menunjukkan rasa kasih sayang dan kesyukuran atas jasa-jasa Baginda.

Di samping itu, majlis ini juga bertujuan untuk sama-sama menyemarakkan lagi sambutan hari-hari kebesaran Islam di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dengan jemaah masjid.

Turut menghadiri majlis tersebut, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Naib-naib Canselor, Rektor, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai dan Kakitangan Kementerian Pendidikan serta Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid STKRJ, Kampung Lambak Kiri.