Hari Terbuka mengukuhkan rantaian nilai pengeluaran pertanian

20 Og 2026 - 8:12am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos. - Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) mengadakan Hari Terbuka selama dua hari bermula hari ini sehingga 20 Ogos 2026, bertempat di Dewan Kemasyarakatan Mukim Pengkalan Batu, Kampung Parit.

Hari Terbuka kali ini merupakan tahun keempat diadakan, dan ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengusaha terhadap perkhidmatan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta produk dan teknologi daripada vendor yang mengambil bahagian.

Selain memperkukuh hubungan antara jabatan dan pengusaha, acara berkenaan turut memberi peluang kepada para peladang, petani, dan penternak untuk mendapatkan perkhidmatan konsultasi serta nasihat daripada unit-unit di bawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan seterusnya mencari jalan penyelesaian bagi isu-isu lazim yang dihadapi.

Sepanjang program berkenaan, pelbagai aktiviti interaktif dijalankan termasuk tunjuk cara pembiakan tanaman, penggunaan baja organik, penjagaan kesihatan ternakan dan biosekuriti ladang.

Kesemua aktiviti dirancang khusus untuk memberi manfaat kepada para pengusaha serta orang awam yang berminat dalam bidang pertanian dan agrimakanan. Bagi memfokuskan pembangunan sektor, para pengunjung juga berpeluang untuk mengadakan perjumpaan dua hala bersama vendor-vendor yang turut serta dalam acara Hari Terbuka berkenaan, di samping mendapatkan maklumat, perkongsian ilmu dan produk-produk yang bermanfaat dan relevan dalam sektor pertanian dan agrimakanan.

Seramai 20 vendor tempatan menyertai Hari Terbuka berkenaan bagi mempamerkan pelbagai produk, teknologi dan perkhidmatan, di samping menyampaikan seminar dan perkongsian maklumat yang sangat bermanfaat kepada para pengunjung.

Insiatif berkenaan merupakan salah satu bentuk sokongan kepada usaha kerajaan dalam memperkasa sektor pertanian dan agrimakanan negara.

Melalui Hari Terbuka berkenaan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan berharap agar para pengusaha dan orang ramai akan dapat terus memperoleh maklumat yang lebih menyeluruh mengenai perkhidmatan jabatan.

Inisiatif berkenaan juga diharap dapat menyumbang ke arah pengukuhan rantaian nilai pengeluaran pertanian, khususnya dalam industri pertanian dan agrimakanan, selaras dengan usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian negara.