'A Flight to Remember' beri pengalaman bermakna kepada kanak-kanak

16 Og 2026 - 7:11am

Berita dan Foto : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland

BERAKAS, Sabtu, 15 Ogos. - Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menyambut baik dan memberikan sokongan terhadap inisiatif kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Freme Travel Services Sdn. Bhd. menerusi program 'Freme 55th Anniversary : A Flight to Remember' yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), hari ini.

Program berkenaan dianjurkan bersempena Sambutan Ulang Tahun Freme Travel Services Sdn. Bhd. Ke-55 dan merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Menerusi program tersebut, seramai 114 kanak-kanak berdaftar di bawah JAPEM, yang berumur antara 7 hingga 15 tahun, berpeluang menikmati pengalaman menaiki penerbangan sewa khas menggunakan pesawat Royal Brunei Airlines (RB).

Inisiatif berkenaan bertujuan memberikan pengalaman dan pendedahan unik serta peluang kepada kanak-kanak, di samping memberi peluang kepada mereka menyaksikan keindahan Negara Brunei Darussalam (NBD) dari ruang udara.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi melancarkan program tersebut ialah Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh. Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Awang Abdul Ghani bin Murni dari JAPEM.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Freme Travel Services Sdn. Bhd., Pengiran Dato Paduka Osman bin Pengiran Haji Patra, diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat, sebelum acara diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama para peserta.

Sebaik sahaja selesai majlis pelancaran, para peserta kemudiannya bergerak ke Balai Pelepasan (Departure Hall) bagi menjalani prosedur pemeriksaan keselamatan dan imigresen sebelum menaiki pesawat. Penerbangan khas tersebut berlepas dari LTAB pada pukul 10.00 pagi dan mendarat semula dengan selamat sekitar pukul 11.00 pagi. Program diakhiri dengan sesi pengagihan cenderamata kepada para peserta yang berlangsung di Balai Ketibaan (Arrival Hall).

JAPEM menyambut baik usaha murni yang dilaksanakan oleh Freme Travel Services Sdn. Bhd., dengan kerjasama RB dalam memberikan pengalaman yang bermakna kepada golongan kanak-kanak yang terpilih.

Program seumpama ini bukan sahaja memberikan pengalaman baharu yang amat bernilai kepada para peserta, malah turut mencerminkan semangat kerjasama yang erat antara sektor awam dan swasta dalam memperkasa kebajikan serta kesejahteraan masyarakat di NBD.

Sehubungan itu, JAPEM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Freme Travel Services Sdn. Bhd. serta RB atas keprihatinan, sokongan dan komitmen terhadap perlaksanaan inisiatif CSR berkenaan, yang seterusnya memberikan keceriaan serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada kesemua kanak-kanak yang terpilih.