Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Sempena menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi, semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara tahun ini lazimnya diimarahkan dengan laungan dikir selama 12 malam berturut-turut bermula malam ini.
Sehubungan itu, majlis pembukaannya berlangsung di Masjid Omar 'Ali Saifuddien (MOAS) di ibu negara yang dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku tetamu kehormat majlis dan sekali gus memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan acara.
Turut hadir, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Arman bin Haji Asmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamsol bin Haji Omar; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari KHEU serta jemaah masjid berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh penceramah Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, KHEU, Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, yang antara lain menyatakan bahawa kita malam ini memasuki bulan kelahiran seorang insan yang mulia, nabi terakhir umat, iaitu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
“Datangnya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam membawa cahaya kepada dunia yang gelap gelita, yang penuh dengan kejahilan. Sejak dari manusia pertama, Nabi Adam Alaihi Salam semua anbiya telah datang membawa misi yang sama, iaitu mesej La Ilaha Illa Allah (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah),” jelas beliau.
Jelasnya lagi, inilah mesej sama yang tidak pernah berubah sehinggalah nabi yang terakhir di muka bumi. Mesej berkenaan bukan sekadar tradisi, tetapi ia untuk memperingati manusia tentang makna perhambaan kepada Yang Maha Pencipta.
Dunia tambahnya lagi, kembali bersinar dengan cahaya Tauhid dengan kebangkitan Khotamul Anbiya' (nabi yang terakhir).
Menurutnya, jika kita amat-amati, misi kerasulan bukan dimulai dengan meruntuhkan patung-patung berhala yang ada di tanah Arab. Tetapi, ia dimulakan dengan menghidupkan Tauhid di dalam jiwa manusia.
Awang Haji Ahmad Muzhafar seterusnya berkata bermula dengan dakwah di Mekah selama 13 tahun, tarbiyah yang diterapkan oleh nabi berputar sekitar pembinaan akidah. Ini dapat dilihat di dalam surah-surah Makkiyyah di dalam Al-Quran, surah-surah berkenaan mengandungi mesej-mesej tentang pembinaan iman, syurga dan neraka, akhirat, berakhlak mulia dan kisah-kisah umat terdahulu.
Pembinaan modal insan jelasnya lagi, berteraskan akidah inilah yang menjadi batu-bata kepada pembangunan negara Islam yang pertama, iaitu Madinah Al-Munawwarah.
Dalam menyambut Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, Awang Haji Ahmad Muzhafar menekankan, agar kita mulakan dengan mendidik diri sendiri dan seterusnya ahli keluarga dengan mengukuhkan akidah melalui Tadabbur Al-Quran, memahami nama-nama dan sifat-sifat Allah yang mulia serta hayati Sirah Nabawiyyah, bukan dengan sekadar ingat fakta, tetapi menerapkan pengajaran darinya.
Beliau seterusnya menerangkan dengan memetik daripada Kitab Fiqh Sirah, karangan Profesor Dr. Sa'id Ramadhan Al-Buthi, iaitu tujuan mengkaji riwayat hidup Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan penganalisaannya bukanlah semata-mata untuk melihat kejadian-kejadian dan episod-episod yang bersejarah ataupun memaparkan cerita-cerita yang indah sahaja.
Tujuan pokok dan kajian yang dimaksudkan katanya lagi, ialah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa kahiikat zahir dan batin Islam semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah itu sendiri.
"Gambaran dan anggapan ini akan timbul dan wujud setelah seseorang Muslim itu dapat memahami dengan benar segala hikmah dan keistimewaan prinsip-prinsip dan dasar-dasar Islam satu persatu terlebihi dahulu.
"Kajian riwayat hidup Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengumpul hakikat dan inti sari dasar-dasar Islam kemudian memadan dan menyesuaikan dengan contoh Islam, iaitu Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
"Semoga dengan menghayati Sirah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam akan melembutkan hati kita menghayati setiap bait selawat dan dikir kepada Baginda. Daripada Abdullah bin Mas'ud Radiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Orang yang paling dekat denganku pada Hari Kiamat adalah yang paling banyak berselawat kepadaku". Semoga hidup kita sentiasa terang dengan cahaya akidah Ahli Sunnah Waljamaah. Amiin," ujarnya lagi.
Kemudiannya, suasana majlis bergema dengan alunan dikir dan selawat menerusi persembahan Dikir Assalamualaika oleh Pasukan Dikir MOAS, diikuti Dikir Khairuman Udana Laila daripada Pasukan Dikir Kampung Belimbing Subok.
Turut dipersembahkan ialah Dikir Tanaqal Indara oleh Persatuan Angkatan Belia Burong Pingai Berakas (PERANGKAB), Dikir Al-Hamdu oleh Persatuan Dikir Warga Emas dan Pasukan Dikir Jabatan Pengajian Islam pula membawakan Dikir Asyraqal.
Setelah itu, Doa Dikir dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, MOAS, Awang Khairul Ariffin bin Haji Yusof, sementara Pegawai Masjid, MOAS, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Emran bin Haji Kunchang pula memimpin bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Tradisi mengimarahkan masjid dengan bacaan dikir selama 12 malam berturut-turut sempena Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam sememangnya menjadi antara amalan yang sinonim dengan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam.
Lebih daripada sekadar sebuah majlis keagamaan, amalan berkenaan mencerminkan kecintaan umat Islam kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menyemarakkan syiar Islam, memperkukuh ukhuwah serta menyatukan masyarakat dalam suasana penuh keinsafan dan keberkatan.
Sepanjang tempoh berkenaan, masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara akan terus bergema dengan Selawat dan puji-pujian kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagai tanda kasih dan penghormatan umat terhadap junjungan yang menjadi rahmat bagi sekalian alam.