Oleh : Aimi Sani
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, malam ini berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan isteri, Puan Loo Tze Lui serta rombongan Republik Singapura yang akan menghadiri Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura.
Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dan isteri, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Menteri Pengiring, dan isteri; serta Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan isteri.
Juga hadir, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis, PasukanPolis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin; dan Setiausaha - Setiausaha Tetap dari JPM, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri bersama pasangan masing- masing.
Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura akan diadakan pada 10 Oktober 2026 di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) di Muara.