Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre
JERUDONG, Jumaat, 14 Ogos. - Jerudong Park Medical Centre (JPMC) meluaskan impak Employee Wellbeing Week (EWW) 2026 di luar tempat kerja melalui sumbangan sebanyak BND1,300 kepada Hand4Hand Brunei, sekali gus merealisasikan tema tahun ini, iaitu ‘Living Our Purpose’, melalui tindakan bermakna dengan memberikan bantuan kepada komuniti kurang berkemampuan yang memerlukan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi EWW 2026, J. Tracy Ramantan-McGlynn, kepada Pengasas Bersama Hand4Hand Brunei, Awang Haji Muhamad Iqbal Fakhri bin Haji Damit, dalam satu Majlis Penyerahan yang diadakan di JPMC.
Berlangsung dari 6 hingga 9 Julai 2026, EWW menghimpunkan para pekerja JPMC melalui pelbagai aktiviti pembelajaran, kesejahteraan dan keterlibatan yang dirangka untuk menggalakkan para pekerja menghayati semula perkara yang memberikan makna kepada pekerjaan mereka, mengukuhkan hubungan sesama mereka serta menyedari perbezaan yang mampu mereka lakukan melalui tindakan seharian.
Pada tahun ini, semangat berkenaan turut diperluaskan di luar JPMC melalui sokongan kepada Hand4Hand Brunei sebagai NPO of Choice bagi program berkenaan. Hand4Hand Brunei merupakan sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan tempatan yang berdedikasi dalam memberikan bantuan kemanusiaan serta menyokong masyarakat yang memerlukan.
Sumbangan derma sebanyak BND1,300 berkenaan dapat direalisasikan melalui sumbangan bersama dari JPMC dan vendor-vendor yang mengambil bahagian bagi menyokong Hand4Hand Brunei.
Mengulas mengenai inisiatif berkenaan, J. Tracy Ramantan-McGlynn berkata, setiap sumbangan mencerminkan kemurahan hati semua yang terlibat, dan kami berbesar hati untuk terus menyokong organisasi seperti Hand4Hand Brunei serta usaha bermakna yang mereka laksanakan untuk masyarakat kita.
JPMC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua vendor, rakan kongsi, pekerja dan penyumbang yang mengambil bahagian dalam menyokong inisiatif berkenaan. Penyertaan secara kolektif tersebut menunjukkan bahawa sumbangan kecil, apabila dihimpunkan berlandaskan tujuan bersama, mampu memberikan impak yang bermakna kepada masyarakat secara lebih luas.