Siaran Akhbar : Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 14 Ogos. - Dengan Baiduri Masters 2026 kini memasuki peringkat penentuan, Awangku Mohd. Syakir Pengiran Alli muncul sebagai pemain yang perlu diberi perhatian selepas menghasilkan pusingan terbaik kejohanan setakat ini.
Juara Baiduri Masters 2023 berkenaan mencatatkan 64 pukulan dengan cemerlang, melonjak ke kedudukan teratas papan pendahulu dan membuka kelebihan lima pukulan ke atas peserta lain menjelang pusingan kejuaraan pada Ahad.
Dengan masih berbaki satu pusingan lagi, beliau membawa momentum berkenaan ke hari terakhir ketika berusaha merampas kembali Green Jacket.
Menduduki tempat kedua ialah Mahendra Phagami dengan 69 pukulan, dengan persembahan memberangsangkannya pada hujung minggu lalu telah membolehkannya mendahului saingan menjelang pertandingan hujung minggu ini.
Sekumpulan empat pemain terikat pada 70 pukulan, terdiri daripada Zul Rosli, Moksin Jinaidi serta bekas juara Baiduri Masters, Johari Ahmad dan Muhd. Irwan Haji Abd Hamid.
Hanya satu pukulan di belakang ialah Haji Shahminan Haji Damit dengan 71 pukulan, manakala Awangku Muhd. Zaidan Pengiran Haji Ahmad Zaki, Julian Kamaluddin dan Bryan Chiew masih berada dalam jarak persaingan dengan 72 pukulan.
Melengkapkan kelompok 12 teratas ialah Muhd. Harith Irfan Indera Putera dan Zulehram Yakub, kedua-duanya dengan 73 pukulan.
Dengan satu hari lagi pusingan kelayakan sebelum pusingan kejuaraan pada Ahad, persaingan untuk merebut tempat dalam kelompok 12 terbaik semakin sengit. Di padang Pantai Mentiri Golf Club (PMGC) yang mempunyai 72 par, pemain yang kini berada di luar kedudukan kelayakan berkemungkinan perlu mencatat sekurang-kurangnya par atau lebih baik untuk memperbaiki kedudukan dan mencabar tempat di pusingan akhir esok.
Menambahkan lagi keterujaan ialah hadiah menarik bagi pukulan ‘hole-in-one’ yang ditawarkan dalam kejohanan berkenaan, termasuk sebuah BMW X3 di Lubang 13, Porsche Macan EV di Lubang 16, MINI Cooper di Lubang 9 dan hadiah wang tunai BND20,000 di Lubang 7.
Walaupun terdapat beberapa percubaan yang hampir berjaya sepanjang kejohanan, kesemua hadiah berkenaan masih belum dimenangi menjelang hari terakhir.
Pemain golf masih berpeluang untuk menyertai hari terakhir pertandingan, dengan pendaftaran masih dibuka pada kadar BND120 bagi Kategori Lelaki, Kategori Wanita dan Kategori Senior. Manakala BND60 bagi Kategori Junior.
Walaupun pusingan kejuaraan akan disertai oleh 12 pemain yang layak, peserta yang mendaftar untuk hari terakhir masih berpeluang bersaing bagi merebut gelaran dalam bahagian masing-masing, selain hadiah pukulan ‘hole-in-one’, pukulan paling hampir dengan pin (nearest-to-pin) dan pukulan paling jauh (longest drive), yang kesemuanya masih terbuka untuk dimenangi.
Peserta boleh mendaftar secara dalam talian melalui platform Pocket atau menyerahkan borang pendaftaran dan bayaran di PMGC.
Untuk maklumat lanjut mengenai Baiduri Masters 2026, layari ‘www.baiduri.com’.