52 belia Daerah Belait sertai Program Literasi Penerangan

16 Og 2026 - 6:52am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Azmah Haji Ahad

BERAKAS, Sabtu, 15 Ogos. - Sebagai salah satu landasan dalam menyampaikan maklumat rasmi dan maksud kerajaan dalam kalangan belia, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait menganjurkan Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Belait selama dua hari iaitu pada 15 Ogos dan 17 Ogos 2026.

Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Belait kali ini disertai oleh seramai 52 orang belia dari Daerah Belait yang terdiri daripada Atlet-atlet Belia Daerah Belait, Ahli-ahli Persatuan, Pelajar-pelajar Pusat Tingkatan Enam Belait, Institut Pendidikan Teknikal (IBTE) Jefri Bolkiah, Politeknik Brunei Kampus Lumut, Belia-belia Akar Umbi dan Belia-belia Masjid.

Hadir di Majlis Pembukaan program tersebut yang bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas ialah Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.

Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahhuddin selaku Pengerusi Program dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa Program Literasi Penerangan ini merupakan salah satu usaha Jabatan Penerangan dalam merealisasikan visi jabatan iaitu 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat'.

Di samping itu, ia juga adalah untuk terus memperluaskan penyampaian maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan melalui pelbagai platform dan pendekatan yang bersesuaian.

Jabatan Penerangan, tambahnya lagi, menyedari bahawa golongan belia merupakan aset penting negara dan memainkan peranan besar dalam mencorakkan masa depan Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, program ini diwujudkan khusus bagi memberikan pendedahan kepada para belia mengenai dasar-dasar negara, kenegaraan, pembangunan diri serta nilai-nilai jati diri dan keterangkuman (inclusivity).

Program ini tambahnya lagi, diharap dapat memberikan impak positif kepada para peserta dalam memajukan diri yang secara tidak langsung akan membantu negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi.

Tema program kali ini, 'Membina Jati Diri Belia Brunei Melalui Kekuatan, Kedayatahanan dan Menghargai Diri' bukan hanya dibincangkan dalam forum motivasi, tetapi diterjemahkan melalui keseluruhan pengisian program.

Sepanjang program dua hari ini, para peserta program didedahkan dengan pelbagai maklumat semasa termasuk memahami konsep keterangkuman (inclusivity), pembinaan jati diri yang berdaya tahan dan aspirasi belia dalam menyumbang kepada melalui pengisian seperti taklimat, aktiviti dan lawatan ke agensi-agensi yang terpilih.

Para peserta akan diberikan taklimat antaranya mengenai 'Jenayah Siber, Scammer dan Keldai Akaun' dari Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Forum Motivasi bertajuk 'Membina Jati Diri Belia Brunei Melalui Kekuatan, Kedayatahanan dan Menghargai Diri'.

Tiga orang panel jemputan iaitu Kaunselor Pelawat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Awang Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, Pendaki Gunung dan Pengembara, Dayang Qurratu'aini Qayyimah Dr. Al-Haj Zelzy dan Pelari Jarak Jauh, Awang Zainal Azim bin Haji Zainal Abidin juga akan menyampaikan taklimat pada program berkenaan.

Seterusnya, para peserta juga akan mendengarkan taklimat 'Aspirasi Belia' dari Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan 'Pengusaha Belia : Membina kerja sepenuh masa dalam sektor perniagaan F&B' dari Dayang Labibah Shafiee, Pemilik Cafe Coffee Up, Universiti Brunei Darussalam.

Selain itu, para peserta juga akan mengadakan lawatan ke Pusat Al-Islah dan diberikan taklimat mengenai 'Peranan dan Tanggungjawab Rakyat Negara Brunei Darussalam' dari Jabatan Penerangan; 'Peranan dan Pemulihan, Integrasi dan Pembinaan Kapasiti diri di Pusat Al-Islah' dari Pusat Al-Islah, Biro Kawalan Narkotik dan Bengkel 'Menambat Dastar dan Menapih Sinjang' dari Jabatan Adat Istiadat Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Jabatan Penerangan dalam memantapkan lagi visi 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat' akan sentiasa mempelbagaikan platform pembarigaan maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan di samping memberikan peluang untuk Jabatan Penerangan untuk lebih memahami lagi kehendak semasa dalam kalangan belia.