4 penghulu mukim, 15 ketua kampung terima sijil lantikan

14 Og 2026 - 8:15am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Azmah Haji Ahad, Ihsan Jabatan Daerah Tutong

TUTONG, Khamis, 13 Ogos. –  Empat penghulu mukim dan 15 ketua kampung bagi Daerah Tutong menerima sijil lantikan masing-masing hari ini dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, di sini.

Majlis berkenaan dianjurkan sebagai satu bentuk penghormatan dan pengiktirafan terhadap pelantikan rasmi para penghulu mukim dan ketua kampung yang akan menggalas tanggungjawab memimpin serta berkhidmat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Majlis Penyampaian Sijil Lantikan berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Kesejahteraan Masyarakat), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut, selaku tetamu kehormat majlis.

Semasa berucap pada majlis berkenaan, Awang Salminan menegaskan bahawa penghulu mukim dan ketua kampung merupakan barisan hadapan kerajaan yang memainkan peranan strategik sebagai mata, telinga dan lidah kerajaan dalam memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.

Peranan berkenaan tambahnya lagi, bukan sahaja tertumpu kepada penyampaian maklumat malah merangkumi usaha mengenal pasti isu, cabaran, dan keperluan masyarakat, menyelaras tindakan bersama pihak-pihak berkepentingan, serta memastikan perkhidmatan dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat dan penduduk secara berkesan, menyeluruh dan menepati sasaran.

"Peranan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung kini telah mengalami perubahan yang ketara, selaras dengan pelaksanaan Skim Perkhidmatan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung yang telah dikuatkuasakan. Secara umumnya, Skim perkhidmatan ini bertujuan untuk meningkatkan kewibawaan, memperkukuh kualiti kepimpinan, dan memperkasakan keberkesanan institusi kepimpinan akar umbi.

"Kepimpinan yang berkesan adalah penting bagi memastikan penghulu mukim dan ketua kampung terus relevan dalam menghadapi cabaran semasa, menangani keperluan anak buah kampung yang semakin kompleks serta memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kerajaan dengan rakyat dan penduduk.

"Pada masa yang sama, peranan ini turut menyokong usaha kerajaan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035," ujarnya lagi.

Majlis turut diserikan dengan bacaan ikrar oleh para penghulu mukim dan ketua kampung yang baharu dilantik, diikuti dengan penandatanganan ikrar. Ikrar berkenaan melambangkan komitmen mereka untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi, jujur dan berintegriti demi kepentingan serta kesejahteraan masyarakat di bawah kepimpinan masing-masing.

Penandatanganan ikrar yang dilaksanakan di hadapan tetamu kehormat majlis turut menjadi simbol kesediaan para penghulu mukim dan ketua kampung untuk menggalas amanah serta tanggungjawab yang telah diberikan.

Acara kemudiannya diteruskan dengan perasmian papan tanda penghulu mukim di kediaman masing-masing yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis sebagai simbol rasmi pelantikan para penghulu mukim yang baharu.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Penolong Pegawai Daerah Tutong, pegawai-pegawai kanan dari KHEDN, Ketua-ketua Kampung Daerah Tutong, Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta penduduk kampung.

Majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh pentadbiran dan kepimpinan di peringkat akar umbi, di samping menghargai sumbangan serta khidmat para pemimpin masyarakat dalam mendukung pembangunan sosial, ekonomi dan kesejahteraan komuniti di Daerah Tutong.

Pelantikan para penghulu mukim dan ketua kampung berkenaan dihasratkan akan terus memperkukuh kerjasama antara pihak kerajaan dengan masyarakat, serta memastikan keperluan dan kepentingan penduduk di setiap mukim dan kampung dapat terus diberikan perhatian sewajarnya.