Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
RIMBA, Sabtu, 15 Ogos. - Seramai 22 orang peserta Program Pendedahan Belia-Belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi kali Ke-12 menerima sijil masing-masing pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil yang berlangsung pagi tadi.
Majlis yang diadakan di Dewan Simpor, Pusat Agribisnes Rimba, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri itu disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Awang Haji Noor Azri bin Haji Mohd. Noor.
Program selama 13 hari bermula 3 hingga 15 Ogos 2026 itu merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dalam mendukung Pelan Strategik Jabatan Pertanian dan Agrimakanan 2022-2030, khususnya dalam meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor pertanian.
Selain memberikan pendedahan mengenai bidang pertanian, program berkenaan turut bertujuan memperkenalkan perusahaan pertanian sebagai satu bidang perniagaan yang berpotensi menguntungkan, di samping membuka peluang kepada golongan belia untuk menceburi sektor tersebut, khususnya dalam industri tanaman yang menggunakan sistem dan teknologi tinggi bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian.
Sepanjang program, para peserta mengikuti sesi taklimat serta penempatan kerja di ladang-ladang pertanian terpilih. Sesi taklimat memberikan pendedahan mengenai peluang dan tatacara dalam bidang pertanian, termasuk permohonan tapak perusahaan, pemprosesan makanan, kawalan perosak dan penyakit tanaman, pembiayaan kewangan, modal perniagaan, pembinaan bangunan serta pendaftaran perniagaan dan syarikat melalui agensi-agensi berkaitan.
Sementara itu, sesi penempatan kerja memberi peluang kepada peserta untuk menimba pengalaman secara langsung serta memahami dengan lebih dekat operasi perusahaan pertanian di beberapa ladang terpilih.
Melalui program berkenaan, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan turut memberikan fokus kepada beberapa sistem dan teknologi pengeluaran yang bersesuaian dengan kemampuan peladang belia, antaranya sistem fertigasi.
Para peserta juga didedahkan kepada asas penggunaan baja dan pembajaan tanaman, pengendalian lepas tuai, Brunei Good Agriculture Practices (BGAP) serta Brunei Pesticide Free (BPF).
Program tersebut diharap dapat menarik minat dan meningkatkan penglibatan golongan belia, termasuk lepasan institusi pendidikan tinggi, untuk menceburi bidang pertanian.
Pada masa yang sama, program berkenaan diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan pertanian belia yang komited, progresif dan produktif, seterusnya sama-sama menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melalui sektor pertanian.