2 suspek kes rompakan berjaya diberkas

16 Og 2026 - 3:31am

Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Ogos. - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya memberkas dua suspek lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam satu kes rompakan di sebuah kediaman di Kampung Tanjung Bunut yang berlaku baru-baru ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 4.30 pagi tersebut, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga asing telah mengalami kerugian selepas suspek melarikan sejumlah wang tunai, sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta milik mangsa.

Hasil siasatan yang dijalankan, suspek pertama telah diberkas pada 30 Julai 2026, manakala suspek kedua berjaya diberkas pada 13 Ogos 2026 menerusi operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Perisikan Jenayah (JPJ), Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas (JSKLL) serta Special Duties Daerah Polis Brunei-Muara.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu kesalahan merompak secara berkumpulan. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

PPDB akan terus komited dalam membanteras jenayah serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah demi menjamin keamanan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Orang ramai turut diseru agar memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak PPDB.