19 peserta Program Penulis Muda diraikan

13 Og 2026 - 5:28am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

BERAKAS, Rabu, 12 Ogos. - Program Penulis Muda 2026 : Bengkel Penulisan Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melabuhkan tirainya pada petang tadi dengan Majlis Penutupan Program Penulis Muda yang mengambil tempat di Balai Sarmayuda, DBP.

Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Dayang Emi Suryaney binti Haji Hipny yang turut berkesudian menyempurnakan majlis penyampaian cenderamata kepada pembimbing dan sijil kepada para peserta program.

Turut hadir, Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr. Awang Haji Mohd. Ali bin Haji Radin, selaku pengerusi dan pengasas Program Penulis Muda, serta pegawai-pegawai kanan DBP.

Seramai 19 peserta terdiri daripada belia berumur antara 15 hingga 35 tahun telah menyertai program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 Ogos 2026 hingga hari ini.

Majlis dimulakan dengan ucapan daripada pembimbing bengkel, Ruhaini Matdarin, seorang penulis novel prolifik dari Malaysia sebelum diteruskan dengan ucapan wakil peserta bengkel, Awang Muhammad Aqil bin Sapawi yang seterusnya membacakan fragmen novel hasil penulisannya bertajuk ‘Ali Munin’.

Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta bengkel serta penyampaian cenderamata kepada pembimbing bengkel sebagai tanda penghargaan DBP atas perkongsian ilmu, bimbingan dan komitmen yang diberikan sepanjang bengkel berlangsung.

Pelaksanaan bengkel ini memberikan ruang kepada para peserta untuk mengembangkan idea serta menghasilkan karya yang lebih tersusun, kreatif dan berkualiti.

Sesi perbincangan, latihan penulisan dan perkongsian pengalaman bersama pembimbing merupakan antara pendekatan yang digunakan bagi membantu peserta memahami proses penghasilan sesebuah novel secara lebih sistematik.

Sejak mula dianjurkan pada tahun 2019 hingga 2025, program ini berjaya membimbing seramai 224 penulis muda menerusi tujuh siri pelaksanaan. Melalui pelbagai genre bengkel penulisan kreatif yang diungkayahkan, para peserta berpeluang mendalami teknik penulisan kreatif, memperkukuh kemahiran berkarya serta memperoleh bimbingan secara langsung daripada pembimbing yang berpengalaman.DBP akan terus berusaha menyediakan platform yang kondusif bagi menyokong perkembangan bakat penulis muda serta memperkukuh ekosistem kesusasteraan di Negara Brunei Darussalam.