Berita dan Foto : Ihsan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Ogos. - Seramai 14 orang peserta kontinjen Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang terdiri daripada enam orang pemimpin dan lapan orang ahli Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana telah berlepas ke Cibubur, Republik Indonesia pada hari ini, bagi menyertai Jambore Nasional (JAMNAS) Pramuka Ke-12 yang berlangsung dari 13 hingga 20 Ogos 2026.
Penyertaan kontinjen PPNBD pada JAMNAS Pramuka Ke-12 ini adalah atas jemputan daripada Gerakan Pramuka Indonesia, sekali gus menjadi satu platform penting bagi memperkukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama kepengakapan antara kedua-dua negara.
Sebelum berlepas, satu Majlis Penyerahan Bendera kepada kontinjen PPNBD telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, semalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pesuruhjaya Antarabangsa PPNBD, Skip Ritchie Siabu, kepada para peserta kontinjen.
Beliau dalam ucapannya menyampaikan pesanan dan harapan agar para peserta dapat membawa nama baik PPNBD serta Negara Brunei Darussalam (NBD), di samping memanfaatkan peluang penyertaan tersebut untuk menimba pengalaman dan memperluaskan jaringan persahabatan dengan para pengakap dari negara-negara lain.
Majlis seterusnya diteruskan dengan kata-kata semangat daripada Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussin, kepada para kontinjen. Beliau turut menekankan kepentingan menjaga disiplin, mengamalkan nilai-nilai kepengakapan serta sentiasa menunjukkan sikap yang baik sebagai wakil NBD sepanjang berada di luar negara.
Kemuncak majlis ialah penyerahan Bendera PPNBD kepada wakil kontinjen, Awang Mohammad Najib bin Haji Maidin, yang juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Brunei dan Muara serta Ketua Kontinjen, yang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap.
Kontinjen turut dibantu oleh Pemimpin Krew Kelana KUPU SB, Awang Arif Syaamirul selaku Penolong Ketua Kontinjen.
Sepanjang berada di tapak perkhemahan di Cibubur, para ahli kontinjen negara akan menyertai pelbagai aktiviti kepengakapan yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Penyertaan tersebut akan memberikan peluang kepada para peserta untuk meningkatkan kemahiran, menimba pengalaman baharu serta berinteraksi dan bertukar pengetahuan bersama peserta JAMNAS dari Republik Indonesia dan negara-negara lain.
Selain mengikuti aktiviti kepengakapan, kontinjen PPNBD juga akan memperkenalkan budaya NBD melalui persembahan tarian tradisional Brunei pada Malam Kebudayaan, yang merupakan antara acara yang dianjurkan oleh pihak tuan rumah.
Penyertaan ini bukan sahaja memberi pengalaman kepada para peserta dalam bidang kepengakapan, malah turut menjadi wadah untuk memperkenalkan budaya, tradisi dan identiti NBD kepada masyarakat pengakap antarabangsa.
Para ahli kontinjen dijangka akan kembali ke tanah air pada 21 Ogos 2026. Setelah kembali nanti, para peserta akan mengadakan satu sesi perkongsian pengalaman (kongsi sama) bersama Ahli-ahli Pengakap PPNBD pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Melalui sesi tersebut, para peserta akan berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pengajaran yang diperoleh sepanjang menyertai JAMNAS Pramuka Ke-12, seterusnya dapat dimanfaatkan oleh ahli-ahli pengakap yang lain.
PPNBD berharap penyertaan kontinjen pada JAMNAS Pramuka Ke-12 ini akan terus menyemarakkan semangat kepengakapan, memperkukuhkan hubungan persahabatan serantau serta melahirkan generasi pengakap yang berkeyakinan, berdisiplin dan berwawasan.
PPNBD turut mendoakan agar seluruh kontinjen diberikan keselamatan, kesihatan, kelancaran dan kejayaan sepanjang mengikuti JAMNAS serta selamat kembali ke tanah air.