FABD terus perkukuh kestabilan kewangan, tadbir urus

2 Okt 2026 - 5:44am

Siaran Akhbar dan Foto : Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. – Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) Sesi 2026 hingga 2030 gigih memberi tumpuan kepada usaha memulihkan kestabilan kewangan, memperkukuh tadbir urus serta menambah baik pentadbiran bola sepak sepanjang tempoh 100 hari pertama.

Menurut Presiden FABD, Dayang Siti Zuraina binti Awang Haji Abdullah, tidak dinafikan pada awal penggal, FABD berdepan kekangan kewangan dan pentadbiran termasuk tanggungan yang diwarisi serta isu pematuhan yang belum diselesaikan.

Jelasnya lagi, akses kepada peruntukan ‘FIFA Forward’ ketika itu turut dihadkan, manakala pembiayaan ‘AFC Enhance’ digantung berikutan kebimbangan berkaitan tadbir urus dan kestabilan institusi.

Dayang Siti Zuraina seterusnya menjelaskan peluang pembangunan pemain muda turut diperluas menerusi FABD Grassroots Cup, dengan liga akar umbi U-8 dan U-10 telah dirancang untuk diperkenalkan sebagai laluan pertandingan secara berkala.

“Kita bersama barisan Exco akan terus berusaha melakukan yang terbaik untuk mengangkat dan memperkembangkan persada bola sepak di negara ini. Kami juga sudah tentu menuntut sokongan yang padu dari semua pihak terutama dari kelab-kelab bola sepak, badan-badan NGO serta dari pihak kerajaan untuk sama-sama mengembeling tenaga mengangkat kemajuan bola sepak di peringkat negara, serantau dan antarabangsa,” ujarnya lagi sempena mengingati 100 hari pertama pelantikan pentadbiran baharu selepas dipilih untuk menerajui badan induk bola sepak tempatan pada Jun lalu.

Dayang Siti Zuraina yang merupakan presiden wanita pertama dilantik menjadi Presiden FABD bagi sesi 2026 hingga 2030 menzahirkan rasa gembira menyaksikan beberapa perkembangan yang telah dicapai setakat ini termasuk kejayaan FABD merundingkan penarikan sekatan pembiayaan FIFA, sekali gus memulihkan akses kepada keseluruhan peruntukan bagi Ogos hingga Disember 2026.

Sementara itu, pentadbiran baharu berkenaan berjaya melunaskan 50 peratus hutang tertunggak, selain mendapatkan pengecualian bayaran balik dana Asian Football Confederation (AFC) bagi perbelanjaan 2024 yang tidak memenuhi syarat.

Dalam masa sama, kelayakan pembiayaan ‘AFC Enhance’ berjaya dipulihkan bagi kitaran 2026 dan 2027. Dana yang belum digunakan juga dikekalkan untuk FABD dan diluluskan bagi menampung kos operasi Liga Super Brunei.

Daripada aspek pembangunan, FABD sedang berunding dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi pelanjutan tempoh pegangan tanah selama 20 tahun, di samping merancang penambahbaikan Padang ‘A’ dan Padang ‘B’ serta kemudahan futsal.

Dari segi pentadbiran, FABD turut melaksanakan ‘Program Hybrid ACFAM’ selama empat bulan yang melibatkan 29 wakil ahli Kongres FABD dan sekretariat, selain memperkemas dasar, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan rangka kerja tadbir urus dalaman.

Secara keseluruhan, tempoh 100 hari pertama, jentera pentadbiran baharu telah memfokuskan untuk memberi tumpuan kepada pemulihan kewangan, pengukuhan tadbir urus, kemudahan pembangunan dan peningkatan keupayaan pentadbiran yang menjadi asas kepada pembangunan bola sepak Negara Brunei Darussalam yang lebih mampan.