Berita dan Foto : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
BERAKAS, Rabu, 19 Ogos. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya lewat petang tadi mengadakan Majlis Dikir Syarafil Anam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi, bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.
Turut hadir, Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di MTIC, ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan MTIC bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau LTAB, Awang Haji Mohammad Ashraf bin Haji Bujang, sebelum diteruskan dengan bacaan Dikir Syarafil Anam.
Selepas menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Asyarakal dan diakhiri dengan Doa Penutup Majlis Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis Dikir Syarafil Anam merupakan antara aktiviti keagamaan tahunan kementerian dalam sama-sama menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping memperingati kelahiran dan menzahirkan kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta menghayati jasa dan pengorbanan Baginda dalam menyampaikan risalah Islam.
Majlis berkenaan juga dihasratkan untuk terus menyemarakkan syiar Islam serta memperkukuh ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan warga MTIC bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.