Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
JERUDONG, Ahad, 27 September. - Pertubuhan WARGAMAS dengan kerjasama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun 2026, di Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua Pertubuhan WARGAMAS, Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don selaku Pengerusi Bersama Majlis Khatam Al-Quran.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2019, Pertubuhan WARGAMAS terus memainkan peranan dalam menyatupadukan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pimpinan dan ahli WARGAMAS di seluruh negara menerusi kegiatan keagamaan khususnya pembacaan Al-Quran dan Majlis Khatam Al-Quran yang mendapat sambutan menggalakkan.
Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah An-Nas.
Bacaan Takhtim pula dipimpin oleh Biro Warganita, manakala bacaan Doa Khatam diketuai oleh Awang Haji Zulkifli bin Haji Zakaria.
Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban oleh warga Pertubuhan WARGAMAS.
Pada majlis tersebut, tetamu kehormat menyampaikan sumbangan infak Letak Kereta Masjid An-Naim, Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau, juga cenderamata kepada Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran dan bagi menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun 2026 melalui pengisian keagamaan, di samping memupuk semangat silaturahim dan kebajikan dalam kalangan masyarakat khususnya ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS.