Siaran Akhbar : Jabatan Perdana MenteriFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hernie Suliana Othman
SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 19 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) Ke-33 yang berlangsung di Shenzhen International Communication Center, Shenzhen, Republik Rakyat China.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Shenzhen International Communication Center dialu-alukan oleh Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, selaku Pengerusi AELM.
Mesyuarat dimulakan dengan taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Urusan International Monetary Fund (IMF), diikuti dengan sesi yang dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Tuan Yang Terutama Presiden Republik Rakyat China.
Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa AELM, baginda menzahirkan penghargaan kepada TYT Xi Jinping serta kerajaan dan rakyat Republik Rakyat China atas sambutan mesra dan layanan baik yang diberikan.
Kebawah DYMM menekankan bahawa tema APEC tahun ini, ‘Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together’, sangat relevan, khususnya bagi ekonomi-ekonomi kecil seperti Negara Brunei Darussalam dan turut menekankan bahawa konflik yang berterusan di tempat lain serta gangguan di Selat Hormuz boleh menjejaskan rantaian bekalan serta kehidupan rakyat di seluruh rantau ini.
Baginda menegaskan kepentingan persekitaran perdagangan yang terbuka dan dapat diramal, sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan World Trade Organization (WTO) sebagai terasnya serta usaha APEC ke arah mewujudkan Free Trade Area of the Asia-Pacific (FTAAP).
Kebawah DYMM turut menekankan bahawa mengurangkan halangan serta mempermudahkan prosedur rentas sempadan akan membantu lebih banyak perniagaan menjangkau lebih ramai pelanggan di luar negara dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan serantau.
Transformasi digital, titah baginda, mampu meningkatkan produktiviti dan penyampaian Perkhidmatan Awam; dalam pada itu, adalah penting untuk melengkapkan orang ramai dengan kemahiran yang diperlukan bagi memanfaatkannya secara berkesan.
Baginda turut mengongsikan usaha-usaha Negara Brunei Darussalam melalui inisiatif 'Digital Brunei 2030' dan juga bertitah bahawa penambahbaikan penyampaian Perkhidmatan Awam, pengukuhan kemahiran digital dan galakan terhadap penggunaan teknologi baharu, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), turut menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.
Dalam mengakhiri titah, baginda mengucapkan penghargaan kepada Republik Rakyat China atas kepimpinannya dalam APEC pada tahun 2026 serta mengalu-alukan kerjasama rapat dengan Presiden Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Tô Lâm apabila Viet Nam mengambil alih kepengerusian APEC pada tahun 2027.
Pada penghujung sesi, TYT Presiden Xi Jinping menyerahkan tanggungjawab sebagai Pengerusi AELM kepada Presiden Republik Sosialis Viet Nam, TYT Tô Lâm, selaku tuan rumah APEC bagi tahun 2027.