Terus memantapkan kemahiran tempur rapat RPK

20 Og 2026 - 10:06am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad AsriAwang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin

TUTONG, Rabu, 19 Ogos. - Rejimen Pasukan Khas (RPK) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) adalah aset strategik pertahanan negara. Bahkan, ia hendaklah dipelihara dengan penuh keikhlasan dan integriti melalui Ikrar RPK yang baru dilaungkan sebentar tadi.Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan perkara itu pada Sambutan Jubli Emas RPK ABDB yang diadakan di Penanjong Garison. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah ingin melihat, melalui Diplomasi Pertahanan, supaya RPK ABDB akan terus bekerjasama dengan pasukan khas negara-negara sahabat.Dengan adanya latihan bersama dan perkongsian kemahiran operasi khas terkini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah, yakin RPK akan mempunyai tahap kemahiran tempur yang sentiasa tinggi.Bukan itu sahaja, mengenai dengan peningkatan kemahiran operasi khas ini pula, baginda mengambil maklum perasmian baharu dan moden Kompleks Tempur Rapat (Close Quarter Battle Complex) RPK ABDB pada hari ini.Tambah titah baginda, bangunan berkenaan sudah tentu akan memantapkan lagi kemahiran tempur rapat anggota-anggota RPK melalui pelbagai scenario latihan mencabar, sesuai dengan evolusi tempur dalam operasi khas. Pada masa yang sama, Kebawah DYMM juga menggalakkan RPK untuk sentiasa mengintegrasikan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence).

Langkah ini menurut titah baginda lagi, penting bagi memperkasa lagi keupayaan serta kemahiran operasi khas.  Justeru itu, Kebawah DYMM menyeru supaya semua anggota RPK terus menjaga disiplin dan etika kerja, melaksanakan tugas dengan setia dan jujur.Malahan, baginda bertitah mengingatkan juga supaya anggota-anggota RPK tidak terjerumus kepada kegiatan-kegiatan jenayah dan elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan imej ABDB secara menyeluruh. "Dalam suasana meraikan Hari Jubli Emas RPK ABDB pagi ini, beta juga gembira melihat kehadiran mantan-mantan pemimpin dan anggota RPK ABDB. Kehadiran mereka ini turut mencerminkan sokongan dan komitmen yang berterusan dalam sama-sama melihat sendiri perkembangan RPK masa kini. Beta mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka sebelum ini."Akhirnya beta mengucapkan syabas dan tahniah bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Jubli Emas Penubuhan RPK ABDB kepada seluruh warga RPK yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara. Tidak lupa juga, penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan Jubli Emas atas usaha gigih mereka menjayakan secara bersejarah pada pagi ini," titah baginda lagi.Kebawah DYMM seterusnya dalam titah, juga mendoakan supaya RPK ABDB akan terus berjaya dan sentiasa dalam pemeliharaan serta perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.