Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
SERIA, Isnin, 21 September. - Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) meneruskan tradisi mengadakan Sukan Ria Tahunan yang menghimpunkan empat buah sekolah di bawah naungannya dalam suasana penuh meriah dan semangat kesukanan.
Sukan Ria Tahunan bagi tahun ini dikendalikan oleh Sekolah Tunas Jaya (STJ) PGGMB Kuala Belait dan berlangsung di Padang Arena Seria, baru-baru ini.
Empat buah sekolah yang mengambil bahagian ialah STJ PGGMB Kuala Belait, STJ PGGMB Lambak, STJ PGGMB Madang dan Sekolah PGGMB Sungai Akar.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.
Turut hadir ialah Yang DiPertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri; Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi (JKTT) dan Jawatankuasa Tadbir (JKT) PGGMB; guru-guru besar; guru-guru; ibu bapa serta para pelajar.
Acara dimulakan dengan perbarisan lalu murid-murid sekolah, diikuti nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan lagu sekolah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar STJ PGGMB Kuala Belait, Dayang Fazziah binti Haji Kamis, selaku Pengerusi Sukan Ria Tahunan, sebelum acara berkenaan dirasmikan oleh tetamu kehormat.
Acara turut diserikan dengan sesi senamrobik sebelum pelbagai acara sukan dipertandingkan, melibatkan murid-murid dari Kumpulan 1 hingga Kumpulan 3 serta Tahun 1 hingga Tahun 6.
Turut diadakan ialah acara khas bagi tetamu serta pertandingan yang melibatkan para ibu bapa, sekali gus memeriahkan lagi suasana Sukan Ria Tahunan berkenaan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Guru Besar STJ PGGMB Kuala Belait berkata, penganjuran Sukan Ria berkenaan antara lain bertujuan mengeratkan silaturahim dan kerjasama antara empat buah sekolah PGGMB.
Selain itu, kegiatan tersebut bertujuan memupuk keyakinan diri dan sikap tidak mudah berputus asa dalam kalangan pelajar, di samping memberi peluang kepada mereka menyerlahkan bakat serta potensi dalam bidang sukan.
Menurut beliau, penglibatan dalam aktiviti berkenaan juga dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar, termasuk semangat bekerjasama, rajin, bertanggungjawab dan saling menghormati antara pelajar dengan guru.
Sukan Ria turut memberi peluang kepada para pelajar menimba pengalaman serta mengembangkan potensi diri melalui aktiviti sukan, di samping memberi ruang kepada para guru mencorakkan idea menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan.
Sebanyak sembilan acara sukan utama dipertandingkan mengikut peringkat KG 1 hingga 3 serta Tahun 1 hingga Tahun 6.
Johan keseluruhan Sukan Ria kali ini dimenangi oleh Sekolah PGGMB Sungai Akar.
Bermula tahun ini, johan keseluruhan sekolah yang mengutip markah tertinggi akan menerima Piala Pusingan yang disumbangkan oleh Yang DiPertua PGGMB.
Sukan Ria Tahunan PGGMB tahun ini mendapat sambutan menggalakkan daripada keempat-empat buah sekolah yang mengambil bahagian.
Penganjuran berterusan Sukan Ria tersebut diharap dapat melahirkan generasi pelajar yang sihat, berkualiti dan berdaya saing, selain membudayakan gaya hidup aktif sejak usia muda.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disempurnakan oleh tetamu kehormat, Yang DiPertua PGGMB, Guru Besar STJ PGGMB Kuala Belait serta Ahli-ahli JKTT PGGMB.