Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 23 Ogos. - Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sekadar sebagai catatan sejarah tetapi sebagai panduan kehidupan yang sentiasa relevan dengan cabaran manusia pada hari ini. Tazkirah mengetengahkan dua hikmah utama daripada perjalanan kehidupan Baginda.
Hikmah pertama menekankan bahawa ujian dan cabaran merupakan sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Melalui pelbagai ujian yang dilalui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, termasuk kehilangan, penolakan, penghinaan dan kesedihan, kita belajar bahawa emosi seperti sedih, takut, marah dan risau adalah sebahagian daripada respons semula jadi manusia.
Yang penting ialah bagaimana emosi tersebut diurus dengan iman, sabar, doa, tawakal dan sokongan daripada orang di sekeliling. Hikmah kedua pula menonjolkan bahawa adab dan akhlak mulia menjadi asas kepada kejayaan dalam kehidupan.
Kejujuran dan amanah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sehingga Baginda dikenali sebagai Al-Amin, serta akhlak Baginda ketika berhadapan dengan mereka yang menyakiti dan menentangnya, menunjukkan bahawa akhlak tidak seharusnya ditentukan oleh cara orang lain melayan kita. Sebaliknya, kita mempunyai kemampuan untuk memilih bagaimana kita berakhlak.
Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Dari Sirah kepada Kehidupan: Menemui Hikmah Perjalanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam Kehidupan Masa Kini' yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman, bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-40 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-243, baru-baru ini.
Pengiran Siti Katijah seterusnya menambah, akhirnya, tazkirah membawa kepada satu renungan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian, kedudukan, kerjaya atau harta tetapi melalui nilai, akhlak dan manfaat yang kita tinggalkan kepada orang lain.
"Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjadi cerminan bahawa walaupun zaman dan cabaran berubah, fitrah manusia tetap mempunyai persamaan. Oleh itu, Maulidur Rasul bukan sekadar mengingati kelahiran Baginda tetapi merupakan ruang untuk mengambil teladan dan hikmah daripada kehidupan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi membentuk cara kita menjalani kehidupan pada hari ini," jelasnya.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah Ahli Jawatankuasa Kumpulan Firqah Ulfatunnisa dan Kumpulan Ar-Rumaysa' di bawah Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), KHEU.
Juga menyerikan, para muslimah dan jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja wanita di bawah KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Malam Munajat tersebut dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Kumpulan Firqah Ulfatunnisa, Program Keugamaan Belia, PDI, KHEU, Dayang Nur Syafiqah binti Nasruddin, diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Kumpulan Ar-Rumaysa', Program Keugamaan Belia, PDI, KHEU, Dayang Nurul Afiqah binti Lamit.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Ahli Kumpulan Ar-Rumaysa', Program Keugamaan Belia, PDI, KHEU, Dayang Nur Tajwiida Insyirah binti Haji Isa.
Sejurus selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Ahli Kumpulan Firqah Ulfatunnisa, Program Keugamaan Belia, PDI, Dayang Fatin Nurhanani binti Abdullah Mohdar, kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pengurus Kumpulan Ar-Rumaysa', Program Keugamaan Belia, PDI, KHEU, Dayangku Lutfiatul Mahfuzah binti Pengiran Anak Mohd. Yusuf.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut : http://tiny.cc/munajatkheuwanita.