Sekolah Bakti Dewa adakan Hari Sukan Dwi-Tahunan

21 Jul 2026 - 8:21am

Oleh : Siti Rokiah Abdullah

Foto : Ihsan Sekolah Bakti Dewa

 

BERAKAS, Isnin, 20 Julai. - Sekolah Bakti Dewa baru-baru ini menganjurkan Hari Sukan Dwi-Tahunan yang menghimpunkan para pelajar, guru serta ibu bapa dari cawangan Jerudong, Berakas dan Tutong dalam suasana penuh semangat kesukanan dan muhibah komuniti.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan acara serta memberikan sokongan kepada para atlet ialah Pengetua Sekolah Bakti Dewa, Pengiran Anak Hajah Haffezah Syukrina binti Pengiran Anak Haji Hassanuddin.

Acara telah berlangsung di Padang Kebajikan Berakas.

Hari Sukan sekolah tersebut bermula dengan upacara pembukaan yang meriah, didahului dengan sesi pemanasan badan dan Zumba melibatkan seluruh warga sekolah sebelum diteruskan dengan perarakan lalu yang penuh warna-warni mewakili setiap rumah sukan.

Sepanjang temasya berlangsung, para pelajar mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila bersaing dalam pelbagai acara trek olahraga termasuk larian pecut, lari berganti-ganti, acara padang serta teleperlawanan interaktif yang menguji kerjasama dan semangat berpasukan.

Antara acara yang mencuri tumpuan ialah larian pecut bagi murid tadika, acara halangan sekolah rendah serta beberapa acara rekaan yang menghiburkan seperti Larian Kain Sarung dan Larian Dukung (Piggyback Run), yang berjaya menceriakan suasana dan mendapat sambutan hangat daripada para penonton.

Selaian pencapaian dalam bidang sukan yang dipertandingkan, sistem pemarkahan berstruktur juga digunakan untuk menentukan johan keseluruhan bagi temasya tersebut. Penilaian ini termasuklah kategori bukan sukan yang menilai semangat perpaduan dan tanggungjawab rumah sukan termasuk Sorakan Terbaik, Semangat Pasukan Terbaik, Hiasan Terbaik, dan Menjaga Kawasan Rumah Paling Bersih.

Susulan dengan penilaian yang diberikan, pasukan daripada Yellow Titans telah dinobatkan sebagai juara sekali gus menjulang trofi johan keseluruhan.

Penganjuran Hari Sukan Dwi-Tahunan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar, malah turut mengukuhkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti. Selaras dengan motto sekolah, ‘Nurturing Potential Since 1980’ (Memupuk Potensi Sejak 1980), Sekolah Bakti Dewa terus komited dalam melahirkan generasi pelajar yang yakin, cergas, berdisiplin dan berdaya saing.